Atlet Muay Thai dari Malaysia, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar membuat penampilan sulung Kejuaraan ONE dengan aksi yang menakjubkan di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok apabila berjaya menewaskan lawannya pada perlawanan kalah mati.
Remaja berusia 16 tahun yang berasal dari Sarawak ini hanya mengambil masa 16 saat untuk menumbangkan lawannya yang berusia 18 tahun dari Thailand, Padetsuk Fairtex dalam pertembungan flyweight Muay Thai mereka.
“Ia adalah impian yang menjadi kenyataan bagi saya untuk membuat penampilan sulung di ONE Championship dan kemenangan kalah mati adalah di luar jangkaan,” katanya kepada BERNAMA.
“Saya sentiasa mahu bertarung dalam ONE Championship. Jadi, saya berlatih bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat saya. Saya berlatih kira-kira lapan jam sehari – empat jam dari 6 pagi dan empat jam lagi pada sebelah petang dari 4 petang. Ya, kerja keras saya membuahkan hasil.”
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih saya Addy Singpayak. Dia menjaga saya. Dia seorang jurulatih yang sangat berdedikasi dan memastikan saya berlatih secara konsisten,” tambahnya.
Tahun lalu, Johan memenangi kejuaraan kategori 14-15 (bawah 60kg) pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022.
Sumber: The Vocket
Baca Juga: Bekas Atlet Negara Naikkan Isu Solat 5 Waktu. Ini Komen Hannah Yeoh.
PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan individu yang didakwa membuat kenyataan berbentuk penghinaan ke atas agama Islam itu adalah bekas pemain pelapis percubaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada tahun 2014.
Hannah menerusi ciapan di Twitternya hari ini memaklumkan pemain itu bukan lagi atlet negara dan kini tidak menetap di Malaysia.
“Saya sudah semak dengan Majlis Sukan Negara (MSN), beliau (individu tular) bukan lagi atlet negara dan merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM sembilan tahun yang lalu.
“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf,” ciapnya.
Tegas Hannah lagi, beliau mengingatkan setiap atlet haruslah bebas daripada sebarang pertikaian berunsur perkauman dan politik terutama ketika memuat naik sebarang kandungan di media sosial.
“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia.
“Saya ulangi pendirian, sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik. Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing,” pesannya.
Terdahulu, dalam video yang tular di media sosial sejak kelmarin, individu tersebut mengatakan punca pengurusan BAM kurang baik adalah kerana diuruskan orang Melayu.
Katanya, orang-orang Melayu tidak menguruskannya dengan sempurna lebih-lebih lagi kerap meninggalkan latihan ataupun pengurusan tiap kali waktu solat.
Netizen juga kesal dengan situasi ini kerana bekas atlet bercakap tanpa memikirkan pelbagai pihak.
“Eh bang, gunalah otak tu sebelum cakap. Kita hidup dengan Malaysia. Ada kaum Cina, kaum Melayu, kaum India dan kaum lain. Kamu cakap kata-kata yang rasis lepas tu postkan di Tik Tok versi China tu. Ramai orang China yang tengok tu.
“Orang macam dia ni mengugat keharmonian negara. Tindakan harus diambil keatasnya”.
Sumber: KMN