PUTRAJAYA – Kerajaan tidak mencadangkan kenaikan gaji penjawat awam dalam Belanjawan 2023 kerana ia boleh menyebabkan defisit tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, defisit tinggi boleh mengurangkan keyakinan pelabur terhadap negara kerana mereka tidak yakin ada tekad politik untuk mengurus negara dengan baik.
“Apa masalah kita (sekarang ialah), hutang RM1.5 trilion dan defisit (sekarang) 5.6 peratus dan kalau tambah gaji, defisit jadi 6.5 peratus. Tiada orang datang lagi melabur ke negara kerana dia tidak yakin ada kekuatan tekad politik untuk urus negara dengan baik,” kata beliau kepada media selepas menghadiri Forum Antarabangsa: Pendekatan MADANI Mendepani Cabaran Islamofobia, di sini pada Isnin
Anwar mengulas kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat yang berpandangan tiada sebarang komitmen diberikan kerajaan untuk menilai semula sistem saraan baharu perkhidmatan awam melalui model gaji dan upah dalam Belanjawan 2023.
Anwar meminta Cuepacs supaya bersabar kerana keutamaan kerajaan ketika ini adalah membantu rakyat yang lebih miskin.
“Jadi sabar sekejap, hasil banyak cuba dicurahkan. Apakah ia tidak penting untuk selamatkan miskin tegar yang lebih teruk daripada pekerja sedia ada.
“Saya ingin beritahu ia tidak mudah untuk pesawah padi, pekebun kecil, nelayan dan miskin tegar… dia nak hidup pun susah,” kata beliau.
Pada 24 Februari lepas, Anwar membentangkan Belanjawan 2023 dengan cadangan peruntukan RM388.1 bilion, melibatkan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 bilion dan RM99 bilion untuk pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Sumber: Sinar Harian
Baca Juga: Pegang Dua Jawatan Dalam Kerajaan Bukan Isu – Anwar Ibrahim
“Saya hendak beritahu, dalam sejarah kita, sama ada (jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan) digabungkan atau tidak, itu bukan masalah.
“Yang masalahnya guna kedudukan untuk rompak harta rakyat,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu dua jawatan disandang beliau ketika ini.
Beliau berkata, ketirisan boleh berlaku kepada sesiapa saja jika gelap mata, menggunakan kuasa dan kedudukan untuk kepentingan diri sendiri.
“Ini terpakai di banyak kalangan. Yang bersih sama ada belah sana (pembangkang) atau belah sini (kerajaan) jangan bimbang.
“Tetapi yang terpalit dengan rasuah itu harus rasa tertekan dan bimbang.
“Saya bertekad apapun telahan dibuat, saya akan gunakan segala usaha bagi mengelak dan menghalang khianat rasuah yang berleluasa,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) sama ada memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan akan mewujudkan ruang kepada berlakunya masalah termasuk skandal yang berlaku seperti zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Mengulas lanjut, Anwar mengakui kebenaran berlaku ketirisan pada zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lalu, namun turut menyindir perkara sama yang berlaku pada pemerintahan Perikatan Nasional (PN).
“Tetapi dalam pemerintahan PN, selain 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerosakan banyak juga termasuk perbelanjaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (JanaWibawa), projek tebatan banjir dan beberapa ketirisan lain yang masih dalam siasatan.
“Ada yang bertanyakan kenapa perlu disiasat, itu urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa lain.
“Apakah ada tindakan undang-undang dan pendakwaan, itu urusan Peguam Negara.
“Saya ingat, kalau YB (Radzi) sabar, mungkin dalam masa terdekat ada berita baik untuk rakyat,” katanya.
Sumber : KMN