Masa depan bahasa Melayu dan peranannya sebagai bahasa ilmu akan terus terancam dan mungkin lenyap sekiranya universiti awam (UA) di negara ini terus memperlekeh serta menolak penggunaannya secara meluas.

Bahasa Melayu Semakin 'Tenat'. Ini Sebabnya Menurut Pakar

Profesor Antropologi Sosial, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Sarjit Singh, berpendapat martabat bahasa Melayu perlu diangkat di universiti terlebih dahulu jika mahu memajukannya.

Beliau menyifatkan bahasa Melayu sekarang dalam keadaan tenat, bukan sahaja kerana diambil alih oleh bahasa Inggeris, tetapi juga kerana tumpuan kerajaan terhadap soal penarafan dan pengantarabangsaan di peringkat universiti.

Jelasnya, sekiranya mahu majukan bahasa Melayu, martabatnya perlu diangkat di universiti dahulu. Jika di universiti masih lagi memperlekehkan bahasa Melayu, maka tak perlulah menyalahkan etnik lain yang tidak menggunakannya.

Menurutnya lagi, kita tidak mahu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti di negara sendiri, tetapi pada masa sama, Perdana Menteri berjuang untuk mengangkatnya di persada antarabangsa. Pada beliau, ini satu kontradiksi dan cabaran besar yang perlu ditangani.

Berkongsi pengalamannya mengajar selama 22 tahun di universiti tempatan, beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, sesi kuliah menggunakan bahasa pengantar Inggeris sepenuhnya.

Beliau berkata, lebih 20 tahun mengajar dalam bahasa Inggeris dan tidak ada kesempatan untuk gunakan bahasa Melayu disebabkan ramai pelajar (dalam kuliah) adalah dari luar negara.

Ujarnya lagi, satu lagi cabaran, tidak banyak sarjana yang menulis dalam bahasa Melayu, jadi bagaimana hendak membangunkan kearifan tempatan jika ahli akademik sendiri tidak peduli mengenainya.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahasa Melayu yang suatu masa dahulu gah di mata dunia, pupus secara perlahan-lahan jika perkara tunjang itu tidak diberi perhatian.

Sehubungan itu, Sarjit menyarankan DBP mengambil tindakan lebih tegas dengan menjalankan program audit bahasa secara agresif di UA, mengambil kira kedudukannya yang kini cukup kritikal dan bermasalah.

Selain itu, katanya, usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan membina kearifan tempatan mampu diperhebat melalui usaha menterjemahkan perkataan daripada dialek tempatan di setiap negeri di Malaysia.

Beliau tidak bersetuju dengan DBP yang dari dulu ‘menginggeriskan’ bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Banyak perkataan bahasa Melayu asli tidak diangkat kembali yang sekali gus merencatkan proses melestarikan kearifan setempat.

Beliau mencadangkan, bagi keluaran Kamus Dewan akan datang, beri perhatian kepada dialek tempatan, misalnya dalam bahasa Iban, Semai dan Kadazan untuk diangkat dalam kamus, bukan mengginggeriskan (perkataan itu).

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply