Bakal Dilantik Sebagai PM Interim? Ini Jawapan Datuk Seri Ismail Sabri. | Tular di media sosial bahawa Datuk Seri Ismail Sabri akan dilantik sebagai Perdana Menteri Interim. Dakah benar atau tidak? Disini kami kongsikan penjelasan Datuk Seri Ismail Sabri tentang isu tersebut yang buat ramai tertanya- tanya.
BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menolak khabar angin bahawa beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri interim.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan, khabar angin mengenai pembentukan kerajaan interim yang tersebar dalam media sosial itu tidak perlu dilayan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, isu berkenaan sengaja dimainkan oleh pihak tertentu berikutan penangguhan sidang Dewan Rakyat, esok.
“Orang ramai jangan mendengar serta terpengaruh dengan khabar angin mungkin berlaku pembentukan kerajaan dan Perdana Menteri interim yang disebarkan dalam media sosial.
“Kita jangan melayan dan memainkan isu ini kerana pihak terbabit cuba memecahbelahkan keharmonian rakyat.
“Lagipun, saya difahamkan bahawa dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak ada istilah interim… PM (Perdana Menteri) interim, kerajaan interim tidak ada dalam Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada Ketua Kampung Charuk Puting, Batu Bor, Guai dan Paya Mengkuang di pekarangan Masjid Al-Mutaqin, Cheruk Puting, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sekali gus meminta semua pihak supaya kekal tenang dan bersatu padu, terutama ketika negara berdepan pandemik COVID-19 kini.
Katanya, fokus perlu terus diberi kepada usaha menangani cabaran itu, termasuk tanggungjawab untuk membantu rakyat yang terkesan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkannya pada 29 Julai lalu bahawa 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong kerajaan bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah sah.
“Kandungan surat itu bahawa 40 Ahli Parlimen BN menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah benar. Kenyataan itu dibuat selepas saya mengadakan pertemuan dengan 40 Ahli Parlimen terbabit.
“Kekeliruan hanya membabitkan penggunaan kepala surat BN. Kami adalah wakil rakyat BN, justeru berhak untuk menggunakan kepala surat BN.
“Apabila saya hendak mengeluarkan kenyataan, mana boleh saya menggunakan kepala surat lain kerana saya bersama Ahli Parlimen terbabit adalah daripada BN,” katanya.
Beliau berkata, kontroversi berhubung isu penggunaan kepala surat BN itu tidak wajar timbul kerana yang lebih penting adalah isi kandungan kenyataan berkenaan.
Sumber : BH