Banjir Di Kedah Semakin Buruk, Jumlah Mangsa Meningkat | Banjir di Kedah dikatakan semakin memburuk selepas bilangan mangsa banjir terus meningkat kepada 754 mangsa dari 205 keluarga yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah setakat jam 8 pagi hari ini.

Banjir Di Kedah Semakin Buruk, Jumlah Mangsa Meningkat

Jumlah terbabit dikatakan makin meningkat iaitu dari jumlah sebelumnya iaitu seramai 735 mangsa dari 196 keluarga di 12 PPS di lima daerah yang dilaporkan pada jam 12 tengah malam tadi.

Menurut Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff, satu lagi PPS telah dibuka di daerah Kubang Pasu iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau pada jam 11 malam tadi dengan menempatkan seramai 26 mangsa dari empat keluarga.

Beliau menjelaskan bahawa ia menjadikan tiga PPS aktif di Kubang Pasu yang mana dua lagi PPS iaitu di SK Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang mencatatkan jumlah mangsa seramai 106 mangsa dari 29 keluarga manakala PPS SMK Changlun seramai 13 mangsa dari tiga keluarga.

Jumlah keseluruhan yang dilaporkan bagi mangsa banjir di daerah Kubang Pasu adalah seramai 141 mangsa dari 36 keluarga.

Manakala, bagi jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah Pendang seramai 292 mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah iaitu seramai 224 mangsa dari 53 keluarga manakala PPS Dewan Cenderawasih pula menempatkan seramai 68 mangsa dari 22 keluarga.

Ujar Mohd Muaz,  mangsa banjir yang ditempatkan di dua PPS di daerah Pokok Sena iaitu di PPS Surau Kampung Permatang Limau adalah seramai 25 mangsa dari lapan keluarga manakala PPS SK Tualang pula seramai sembilan mangsa dari dua keluarga.

Jumlah keseluruhan bagi mangsa banjir di Pokok Sena yang ditempatkan di dua PPS terbabit adalah seramai 34 mangsa dari 10 keluarga.

Berikutan itu, dilaporkan mangsa banjir di daerah Kota Setar pula terus meningkat seramai 272 mangsa dari 79 keluarga berbanding 269 mangsa dari 77 keluarga yang dilaporkan tengah malam tadi.

PPS di SK Langgar telah menempatkan seramai 80 mangsa dari 23 keluarga manakala SK Suka Menanti menempatkan seramai 62 mangsa dari 23 keluarga dan PPS Darul Hikmah mencatatkan bilangan mangsa seramai 106 mangsa dari 28 keluarga.

Mohd Muaz turut menyebut bahawa mangsa banjir di SK Haji Wahab pula merekodkan seramai 24 mangsa dari lima keluarga setakat jam 8 pagi hari ini.

Mohd Muaz berkata, dua PPS di daerah Baling masih kekal dengan jumlah keseluruhan mangsa banjir seramai 15 mangsa dari lima keluarga setakat ini.

Beliau berkata, PPS di SK Siong menempatkan seramai tujuh mangsa dari empat keluarga manakala PPS Tunku Putera seramai lapan mangsa dari sebuah keluarga.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply