Banjir Di Taman Sri Muda: “Saya Hanya Nampak Kepala Ayah”. | PETALING JAYA: Terperangkap dalam banjir selama lima jam dengan air sudah mencecah paras dagu menjadi pengalaman sukar dilupakan buat satu keluarga yang menetap di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Banjir Di Taman Sri Muda: ‘Saya Hanya Nampak Kepala Ayah’.

Banjir di Selangor beberapa hari lalu menyebabkan keluarga terbabit cemas kerana bantuan belum tiba apatah lagi terdapat seorang ahli keluarganya terlantar akibat penyakit angin ahmar.

Menerusi pengkongsian pengalaman seorang wanita dikenali sebagai Rose Anne di Facebooknya, ketika air sudah mencecah paras pinggang, dia beberapa kali menghubungi bantuan kecemasan namun gagal.

Menurutnya, ketika itu dia bersama lapan ahli keluarga yang lain termasuk ibu, adik dan anaknya, hanya mampu melihat bapanya yang berada atas tilam yang sudah terapung.

“Sebak melihat ayah dan emak ketika air sudah ke paras dagu. Tilam ayah dah terapung dan hanya kepala ayah kelihatan dari pandangan saya.

“Saya terpaksa kuat dan terjengkit-jengkit memeluk dua anak ketika itu dan berdoa menanti bantuan dengan penuh sabar,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Rose berkata, ketika itu sudah hampir lima jam mereka terperangkap dalam banjir dan terkurung dalam rumah.

Katanya, dia reda jika ketika itu nyawanya diambil asalkan ibu bapa, adik dan anak-anaknya terselamat.

“Bagaimanapun, pada jam 3.40 pagi, mereka akhirnya diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan menaiki bot sebelum ditempatkan di sebuah sekolah sementara waktu,” katanya.

Rose berkata, dia masih trauma dan lesu ketika ini namun bersyukur diselamatkan walaupun kenderaan dan pelbagai barangan lain musnah sepenuhnya.

“Saya faham bantuan lambat sampai disebabkan halangan laluan ke lokasi. Terima kasih juga kepada bomba, pasukan penyelamat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply