Budak lelaki yang hilang dihanyutkan arus deras tali air yang ditenggelami banjir di Felcra Sri Makmur di sini semalam, ditemui lemas, hari ini.
Mayat, Muhammad Hafizhan Abd Zaib, 10, ditemui dalam ladang kelapa sawit yang ditenggelami banjir pada jam 12.10 tengahari hari ini.
Mayatnya ditemui anggota Bomba dan Penyelamat yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 50 meter daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud, berkata pihaknya menyambung operasi SAR bermula 8.30 pagi hari ini, selepas menangguhkan operasi berkenaan jam 11.30 malam tadi.
Katanya, operasi SAR hari turut dibantu penduduk kampung serta dua anjing pengesan K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Anggota penyelam membuat selaman di kawasan pencarian dan menemui mangsa di dasar air banjir yang melimpah dalam kawasan ladang kelapa sawit dan mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi SAR hari ini disertai lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu dan BBP Pekan yang turut bersama unit penyelam, operasi selesai pada 12 20 tengah hari,” katanya.
Wan Samsul menasihati ibu bapa diingatkan supaya sentiasa mengawasi anak mereka terutama ketika banjir berlaku dan hujan lebat kerana kawasan rendah akan ditenggelami air.
Katanya, hujan berterusan menyebabkan banyak kawasan di daerah ini ditenggelami banjir, walaupun setakat ini tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.
Sumber : BH
ARTIKEL YANG BERKAITAN
Kanak-Kanak Lelaki 10 Tahun Dikhuatiri Lemas Jatuh Dalam Saluran Longkang
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ketika bermain di sekitar saluran longkang yang dinaiki banjir sebelum dibawa arus di Kampung Sri Makmur di sini, semalam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 2.49 petang semalam.
Katanya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian pihaknya dimaklumkan seorang kanak-kanak lelaki, Muhammad Hafizhan Abd. Zaib berusia 10 tahun dipercayai lemas.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan dan dibantu oleh penduduk kampung dengan dua bot fiber milik mereka dengan menggunakan pendayung.
“Pencarian di permukaan air dilakukan dengan anggaran keluasan sekitar 200 meter dari lokasi mangsa dikatakan lemas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zulfadli berkata, pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba Penyelamat Pekan turut diarah ke lokasi bagi membantu operasi SAR.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud, berkata, operasi SAR disambung semula pada pukul 8 pagi ini yang mungkin lebih tertumpu dalam ladang kelapa sawit termasuk kawasan sekitarnya yang ditenggelami banjir.
Sumber : UM