“Bantuan Kerajaan Elak Pengeluaran Simpanan KWSP”- Menurut Pakar | Pelbagai saluran bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini memadai untuk mengelakkan pengeluaran simpanan akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata semua pihak harus melihat kepada hakikat sebenar jumlah simpanan ahli ketika ini.
Beliau berkata, lebih separuh ahli tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk melakukan pengeluaran sebanyak RM10,000.
Memang pelaburan KWSP tidak akan terjejas seandainya pengeluaran RM10,000 dibenarkan sekali lagi, namun matlamat untuk membantu pencarum tidak akan tercapai.
Ini kerana pencarum yang ingin dibantu sebenarnya tiada simpanan lagi dalam KWSP.
Ahmed Razman berkata, KWSP menjangkakan 6.1 juta atau 50 peratus ahli yang berusia kurang daripada 55 tahun akan mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 apabila bersara nanti.
Beliau berkata, ini menjadikan mereka hanya akan dapat membelanjakan sebanyak RM42 sebulan berdasarkan purata umur rakyat Malaysia sekitar 75 tahun.
Katanya, jika ahli sudah mengeluarkan wang sebanyak RM21,000 melalui tiga pengeluaran khas sebelum ini, mereka terpaksa bekerja antara empat tahun hingga enam tahun lebih lama daripada umur persaraan untuk menampung kembali wang yang dikeluarkan sebelum ini.
Oleh itu, beliau menambah, isu pencarum KWSP tidak mempunyai wang yang cukup untuk persaraan adalah sangat serius dan akan menjadi lebih buruk setiap tahun apabila ramai ahli KWSP akan mula bersara.
Katanya, ambaran yang diberi oleh KWSP bahawa ahli terpaksa bekerja sehingga 60 tahun atau lebih berkemungkinan akan menjadi realiti tidak lama lagi.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan peruntukan bantuan mencecah sehingga RM61,000 kepada setiap rakyat yang terkesan akibat bencana banjir.
Ini termasuklah bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk melakukan kerja pembaikan rumah yang mengalami kerosakan tidak serius, baik pulih rumah yang rosak dengan kos sehingga RM15,000 serta bantuan RM56,000 untuk rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki.
Difahamkan, bantuan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan turut diberikan, di samping peruntukan Bantuan Wang Ihsan untuk membantu mangsa banjir.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, bagaimanapun berkata mangsa banjir perlu dibenarkan membuat pinjaman mudah di institusi kewangan atau mengeluarkan caruman KWSP jika bantuan banjir yang diberikan ketika ini tidak mencukupi.
Namun, katanya disebabkan pandemik COVID-19 yang lalu, proses pinjaman menjadi semakin sukar kerana ramai yang tidak mempunyai penyata gaji atau bekerja sendiri.
Pengumpulan data adalah penting bagi memudahkan semua pihak dapat menganalisis kos kerugian dan langkah bantuan tambahan yang perlu.
Beliau berkata, jika kebenaran diberikan bagi pengeluaran KWSP dengan kadar RM10,000, ia hanya dapat memenuhi keperluan semasa yang mendesak.
Sumber: Berita Harian