Bapa  Obses Dengan Kecergasan Buat Kontrak Elak Anak Jangan Gemuk | Seorang bapa yang terlalu obses dengan kesihatan dan diet telah memaksa anak perempuannya untuk menandatangani kontrak perjanjian supaya tidak akan menjadi gemuk.

Bapa  Obses Dengan Kecergasan Buat Kontrak Elak Anak Jangan Gemuk

London: Rachid Khadla, 56, dari Berkshire yang kini berdepan dengan tuduhan dera terhadap ketiga-tiga anaknya didakwa telah memaksa anak perempuannya, Amira, 23, untuk menandatangani kontrak bertulis tentang janjinya.

Kontrak tersebut yang berbunyi “Saya, Amira tidak akan membenarkan diri saya untuk menjadi gemuk. Saya akan membuat senaman yang banyak untuk memastikan bahawa saya tidak akan menjadi gemuk walaupun sampai ke hujung hayat saya.”

Kontrak itu adalah sebahagian daripada peraturan ketat yang ditetapkan bapanya untuk memastikan anak perempuannya itu tidak akan menambah berat badan. Malah, bapanya akan menimbang beratnya pada setiap minggu untuk memastikan peraturan itu dipatuhi anaknya.

Selain Amira, Khadla juga dikatakan sering mencederakan anaknya yang lain. Justeru itu, Rachid Kadhla telah dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun selepas didapati bersalah menyerang dan memanipulasikan tiga orang anaknya.

Ketika perbicaraan kes di Reading Crown Court, Pendakwa Raya Alex Krikler memberitahu mahkamah bahawa yang tertuduh pernah membaling kerusi pada anak perempuannya, Amira ketika berusia sembilan tahun sehingga mendatangkan kecederaan.

“Saya hilang keyakinan diri dan kini mengalami masalah pemakanan. Tertuduh telah membuat saya berasa bodoh dan tidak bermakna. Saya dan adik-beradik yang lain tidak pernah ada zaman kanak-kanak yang gembira,” kata Amira.

Menurut anak sulung tertuduh, Karim, dia kini berasa terancam apabila ada mana-mana individu yang menunjukkan kemarahan padanya. Bukan itu sahaja, dia juga memberitahu bagaimana teruk dia dipukul oleh bapanya ketika berusia lima tahun selepas bapanya mendapat tahu dia mempunyai tabiat selalu memuntahkan makanan.

Selain dipaksa menandatangani kontrak tersebut, kesemua anak tertuduh juga turut dipukul menggunakan sudu kayu jika ada yang tidak mengikuti peraturan tersebut.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh juga difahamkan akan mengawal gerak-geri anak-anaknya dan dengan siapa mereka boleh berkawan dan aktiviti yang mereka boleh lakukan.

Perkhidmatan Pendakwaan Crown  (CPS) berkata tindakan tertuduh adalah berpunca daripada sifatnya yang terlalu obses dengan kecergasan dan diet.

Sumber: Harian Metro, Lobak Merah 

 

Share.

Leave A Reply