Baru Pertama Kali Hantar Pada Pengasuh, Wanita Temui Kesan Lebam Di Muka Anak | Seorang bayi perempuan berusia 7 bulan mempunyai kesan lebam pada bahagian muka selepas berada di bawah penjagaan pengasuh di Taman Selayang Jaya di sini pada Jumaat lalu.

Baru Pertama Kali Hantar Pada Pengasuh, Wanita Temui Kesan Lebam Di Muka Anak

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya telah menerima maklumat berhubung kejadian pada Jumaat lalu pukul 6.30 petang di kaunter aduan Balai Polis Selayang.

“Ibu mangsa yang berusia 40 tahun telah memaklumkan terdapat kesan lebam kemerahan pada bahagian muka, pipi, telinga dan paha sebelah kiri anak perempuannya yang berusia 7 bulan.

“Siasatan awal mendapati, mangsa telah dihantar ke rumah pengasuh tersebut buat pertama kali pada Jumaat lalu pukul 9 pagi dan telah diambil semula oleh ibu mangsa pada pukul 4.30 petang hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, semasa berada di rumahnya, ibu mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada anggota badan mangsa.

“Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati, mangsa mengalami ‘soft tissue injuries’ pada paha dan bahagian muka sebelah kiri. Mangsa telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Selayang.

“Polis juga telah mengambil keterangan suspek iaitu seorang wanita tempatan berusia 60 tahun bagi membantu siasatan dan kes masih di peringkat siasatan,” jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian kanak-kanak.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply