Baru Tahu Bukan Anak Kandung Selepas 30 Tahun, Keluarga Saman Hospital Cuai | Columbus: Selepas 30 tahun, seorang lelaki di Ohio, Amerika Syarikat (AS) terkejut apabila mendapati bahawa anak perempuannya tidak mempunyai pertalian darah dengannya.
Ia kerana kesilapan ketika dia dan isterinya menjalani rawatan kesuburan untuk mendapatkan zuriat.
Daily Star melaporkan keluarga berkenaan kemudian memfailkan saman di mahkamah pada 2 Februari lalu.
Saman itu terhadap Dr Nicholas J Spirtos yang ketika itu bekerja sebagai Ketua Endokrinologi Reproduktif dan Kemandulan dan Persenyawaan In Vitro dan Pemindahan Embrio di Sistem Kesihatan Summa.
Dalam tuntutan berkenaan, keluarga terbabit mendakwa hospital terbabit melakukan penyelewengan, penipuan dan kecuaian.
Difahamkan, Jeanie dan John Harvey pergi ke klinik kesuburan di Hospital Akron City di Cleveland dengan harapan untuk mendapat zuriat.
Hasil daripada prosedur rawatan kesuburan yang dijalankan pada 1991, Jeanie disahkan hamil.
Pasangan itu menimang cahaya mata perempuan diberi nama Jessica pada 1992.
Dua tahun lalu, Jeanie menyedari ada sesuatu yang tidak kena selepas menjalankan ujian DNA (asid deoksiribonukleik) anak perempuan dan suaminya sempena Hari Krismas.
“Bapa Jessica mempunyai warisan Itali dan dia berharap melakukan ujian itu dapat mengesan ahli keluarganya yang jauh supaya boleh berhubung dengan mereka semasa mengembara ke seluruh Eropah.
“Kami fikir ia adalah untuk berhubung dengan saudara jauh di negara yang mungkin kami lawati,” katanya.
Dalam tuntutan berkenaan, Jessica didakwa mempunyai pertalian darah dengan ibunya, tetapi tiada hubungan dengan bapanya.
Siasatan seterusnya mendapati bapa kandung Jessica adalah seorang lelaki lain.
Sumber: Harian Metro