Bayi Lelaki Baru Lahir Dibuang Tepi Jalan Meninggal Dunia Semasa Di Hospital | Kajang: Bayi lelaki meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas ditemui orang awam tanpa pakaian dan masih bertali pusat serta uri dibuang di tepi jalan berhampiran parkir sebuah pangsapuri, di sini, semalam.

Bayi kena buang

Masih Bertali Pusat Dan Beruri

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hasan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu daripada seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun pada 7.07 pagi.

“Bayi itu dipercayai baharu dilahirkan kerana masih mempunyai tali pusat dan uri dan tiada sebarang pakaian atau nota ditinggalkan bersama bayi berkenaan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan awal dan disahkan berada dalam keadaan tenat.

“Setelah rawatan diberikan, pihak hospital mengesahkan bayi berkenaan meninggal dunia pada 10.35 pagi ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak forensik untuk dibedah siasat.

Polis Masih Siasat

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara mencecah tujuh tahun, denda, atau kedua-dua sekali.

“Sebarang maklumat berkaitan bayi atau ibu bayi berkenaan boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Tasnim Mohamed Nor di talian 014-6209960,” katanya.

Sumber : HM

 

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Seorang Bayi Lelaki Ditinggalkan Di Bawah Kolong Rumah Tanpa Pakaian

Seorang Bayi Lelaki Ditinggalkan Di Bawah Kolong Rumah Tanpa Pakaian | Papar: Bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan di bawah kolong sebuah rumah di Kampung Sapat, di sini, awal pagi tadi.

Bayi lelaki yang cukup sifat itu ditemukan di tanah tanpa seurat benang dalam keadaan kesejukan oleh pemilik rumah yang terdengar tangisan kira-kira jam 4 pagi.

Susulan itu, pemilik rumah seorang lelaki berusia 52 tahun menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pemilik rumah dikatakan hendak ke tandas lalu terdengar suara bayi menangis di bawah kolong.

Katanya, selepas hampir 10 minit tangisan itu tidak berhenti, dia beranikan diri turun ke bawah kolong dan mendapati ada objek yang bergerak-gerak.

“Dia mendapati ia adalah bayi yang ditinggalkan dalam keadaan tanpa seurat benang di tanah.

“Selepas itu, dia memanggil isterinya dan meminta membawa tuala untuk menyelimuti bayi terbabit kerana kesejukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, selepas itu mereka menghubungi polis dan bayi dihantar ke Hospital Papar untuk pemeriksaan lanjut.

“Bayi terbabit dalam keadaan stabil dan dimasukkan di Wad Kanak-kanak Hospital Papar,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyembunyikan kelahiran bayi yang masih hidup.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya tampil membantu dengan menghubungi pegawai penyiasat iaitu Sarjan Noor Azura Linggisan di talian 016-8262067,” katanya.

Difahamkan, ini adalah kes buang bayi yang ketiga berlaku di Sabah dalam tempoh seminggu.

 

 

BACA JUGA :

Bayi Baru Lahir Seberat 3 Kilogram Dibuang Atas Reban Ayam

LAHAD DATU – Seorang lelaki terkejut apabila menemui bayi lelaki dibuang baru sahaja dilahirkan di atas reban ayam miliknya di kawasan Kampung Jawa, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 6.30 pagi sebelum menghantar sepasukan polis ke lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati, bayi itu dipercayai baru dilahirkan dan ditinggalkan tanpa sebarang pakaian di atas reban ayam milik seorang penduduk kampung berkenaan.

“Bayi seberat tiga kilogram kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr Rohan, polis sedang berusaha mengesan suspek sebenar dalam kejadian ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi terus Hotline IPD Lahad Datu di talian 089-881255 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Sophia Thomas Kasau di talian 013-9392505.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply