Bayi Lelaki Berusia 39 Hari Meninggal Dunia Semasa Tidur. | GUA MUSANG – Seorang bayi lelaki yang baru berusia 39 hari, meninggal dunia semasa sedang tidur di rumahnya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, Jalan Persiaran Raya, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Gua Musang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menerima laporan kematiannya pada pukul 7.20 pagi.

Anak tidak sedarkan diri pukul 5 pagi

Katanya, siasatan awal mendapati, bapa bayi berkenaan yang berusia 39 tahun melihat anaknya tidak sedarkan diri selepas bangun daripada tidur kira-kira pukul 5 pagi.

“Dia meminta bantuan jiran untuk hantar anaknya ke hospital dan bayi terbabit diberi rawatan segera, namun doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.

Masalah saluran darah

Choon Foo memberitahu, hasil bedah siasat mendapati punca kematian bayi yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik itu adalah disebabkan ‘pulmonary hemorrhage’ atau masalah saluran darah pada paru-paru.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.

Sumber: Kosmo

 

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Kanak-Kanak 9 Tahun Melecur Kena Asid Dari Letupan Paip Sinki

“Hati ibu mana yang tidak pilu lihat keadaan anak yang melecur hampir seluruh badan disebabkan asid,” kata ibu kepada kanak-kanak yang cedera dalam kejadian letupan paip sinki di rumahnya di Kota Perdana, Seri Kembangan, Serdang pada Khamis lalu.

Menceritakan semula kejadian itu, Nurul Shaszamul Hidayah Mohd Sham, 32, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9 malam, mereka sekeluarga mahu menikmati makan malam.

“Ketika itu, anak ketiga saya, Muhammad Haidar Munir, 9, sedang menggoreng telur di dapur ditemani adiknya, Marissa Nur Humaira Munir, 7.

“Tiba-tiba, kami terdengar letupan kuat di dapur. Kami sangkakan bunyi gas memasak meletup sebelum terhidu bau asid yang kuat dan kedengaran Haidar mengerang kesakitan.

“Saya terus berlari ke dapur dan mendapati paip sinki jiran yang terletak di bahagian siling dapur meletup dan terdapat asid di dalam kuali digunakan Haidar untuk menggoreng telur,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Nurul Shaszamul berkata, anak ketiga daripada lapan beradik itu kemudian dilihat berlari ke bilik air dalam keadaan rambutnya menjadi keras akibat terkena asid.

“Suami kemudian membantu Haidar membuka baju serta menyiram air pada seluruh badannya. Ketika itu, dia hanya mengerang kesakitan.

“Saya kemudian mengarahkan anak sulung dan anak kedua pergi ke rumah jiran untuk memaklumkan mengenai perkara itu kepada mereka.

“Sebaik melihat keadaan dapur yang terdapat tompokan cecair berbuih di atas meja dan di dalam kuali, jiran nampak terkejut dan meminta maaf kepada kami,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas ke Hospital Serdang sebelum dirujuk ke Hospital Tunku Azizah, di sini, memandangkan keadaan kecederaan dialami Haidar yang melecur tahap tiga.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan, doktor mendapati hampir keseluruhan bahagian kepala melecur termasuk rambut Haidar yang mengeras seperti plastik terbakar.

Dua kanak-kanak melecur selepas dipercayai terkena letupan asid serbuk soda dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan, pada Selasa. - Foto: Facebook

“Ada juga bahagian bertompok sehingga menampakkan kulit kepalanya akibat hakisan asid berkenaan.

“Bahagian muka dia paling teruk terjejas termasuk kedua-dua matanya juga terkena asid dengan selaput matanya di bahagian luar terkoyak.

“Doktor memaklumkan kemungkinan mata Haidar sembuh seperti sedia kala adalah 50/50 dan dia kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) kebakaran di Hospital Tunku Azizah,” katanya.

Dia juga memaklumkan anak keempatnya turut mengalami cedera ringan di bahagian paha kanan dalam kejadian itu dan dirawat sebagai pesakit luar.

Menurutnya, mereka sekeluarga kini menetap di rumah mentuanya di Serendah, Hulu Selangor, kerana merasakan rumah sewanya itu yang baru didiami sejak tiga bulan lalu tidak selamat selepas insiden berkenaan.

“Jiran ada memaklumkan dia terpaksa menggunakan asid untuk mengatasi masalah sinki tersumbat selepas mencuba pelbagai cara sebelum ini.

“Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak dalam kejadian ini kerana tahu ia adalah kemalangan. Namun, melihatkan keadaannya begitu, saya jadi sedih.

“Walaupun dalam keadaan begitu, dia masih lagi teruja sejak semalam untuk mengambil buku teks Tahun 3 di sekolah yang dijadualkan hari ini,” katanya membuat laporan mengenai kejadian itu di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Menurutnya, dia sedar jiran tidak ada niat untuk mencederakan anaknya yang kebetulan berada di dapur.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply