Bayi Lelaki Usia 14 Bulan Jatuh Katil Meninggal Dunia | Kes bayi meninggal dunia di rumah pengasuh antara isu yang seringkali menjadi kebimbangan buat ibu-ibu yang bekerja. Benarlah bahawa ajal dan maut di tangan Tuhan, tetapi jika berpunca daripada kecuaian, pasti akan terbit rasa kekesalan di hati.
Dungun: Terbaru bayi lelaki berusia 14 bulan yang mengalami pendarahan dan retak kepala dipercayai terjatuh dari katil di rumah pengasuhnya di Paka, di sini, meninggal dunia malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata mangsa menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kanak-Kanak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu jam 10 malam.
Dikatakan mangsa yang sebelum itu tidak sedarkan diri dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HSNZ Kuala Terengganu kira-kira jam 5 petang kelmarin.
Baharudin Abdullah berkata, pemeriksaan terhadap badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan fizikal namun pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (Ct Scan) telah mendapati mangsa mengalami pendarahan di ubun kepala serta keretakan di belakang kepala.
“Hasil soal siasat, pengasuh wanita berusia 24 tahun memaklumkan mangsa terjatuh secara terlentang dari katil dengan kepalanya terhentak di lantai ketika bermain.
“Pada mulanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 tetapi kini kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat. Kita akan menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, akhbar semalam telah melaporkan seorang bayi lelaki yang berusia 14 bulan mengalami pendarahan dan retak kepala selepas dipercayai terjatuh dari katil ketika berada di rumah pengasuhnya kelmarin.
Mangsa sebelum itu dihantar bapanya yang berusia 30 tahun ke rumah pengasuh pada jam 10.15 pagi sebelum lelaki terbabit bergerak ke kedai makan.
Bagaimanapun, lelaki terbabit menerima telah panggilan daripada isterinya bagi memaklumkan anaknya mengalami masalah di rumah pengasuh sebelum dia bergegas ke rumah wanita terbabit.
Sumber: Berita Harian