Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menyiasat dakwaan berlaku kecuaian yang mengakibatkan kematian seorang bayi baru dilahirkan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), di sini.
Dakwaan itu yang tular di media sosial semalam antara lain menyalahkan kelewatan pihak hospital mengendalikan kes seorang wanita yang mahu bersalin hingga bayi dalam kandungan menjadi lemah sebelum dilaporkan meninggal dunia selepas dilahirkan.
Pengarah JKNS, Datuk Dr Rose Nani Mudin, mengesahkan berlaku kematian bayi baru dilahirkan di HWKKS yang dilaporkan pada 19 Jun dan siasatan mengenai punca kejadian itu masih dijalankan.
“Terlebih dahulu pihak JKNS ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bayi ini.
“Pihak JKNS mengesahkan insiden itu berlaku di HWKKS pada 19 Jun 2022. Siasatan terperinci dan telus sedang dijalankan oleh pihak jabatan ini.
“Adalah dimaklumkan ibu kepada bayi berkenaan berada dalam keadaan stabil dan beliau sedang diberi rawatan lanjut serta kaunseling oleh pihak hospital pada masa ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dakwaan yang tular di media sosial itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen yang bersimpati terhadap kejadian menimpa keluarga bayi malang terbabit selain ada yang turut berkongsi pengalaman berdepan situasi sama.
Ramai juga netizen yang memberikan maklum balas tidak berpuas hati terhadap tahap perkhidmatan di HWKKS, khususnya yang berkaitan dengan layanan kakitangannya.
Dr Rose Nani berkata, pihak JKNS mengambil perhatian serius terhadap kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan terhadap semua maklum balas yang diterima bagi menambah baik mutu perkhidmatan hospital.
Sumber : HM