Seorang lelaki yang dipercayai melarikan diri dan takut dipukul cuba terjun dari tingkat empat sebuah Apartmen Sejati Ujana dekat Batu Tujuh, di sini, malam tadi.
Lelaki berusia 20an itu dikatakan cuba terjun daripada kediaman berkenaan, kira-kira jam 8.40 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.44 malam.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
Menurutnya lagi, sejurus tiba, pasukan bomba dimaklumkan lelaki itu berada di tingkat empat apartmen berkenaan dipercayai cuba terjun.
Jimmy berkata dalam satu kenyataan, anggota bomba kemudian naik menggunakan tangga ke lokasi dan berjaya memujuk lelaki itu. Dia mendakwa bertindak sedemikian untuk bersembunyi dan melarikan diri kerana ada individu ingin memukulnya.
Beliau turut memberitahu, lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa turun sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, anggota bomba kemudian menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kejadian selamat sebelum operasi ditamatkan jam 9.40 malam.
Sumber: Berita Harian