Petaling Jaya: Padah memikat isteri orang, bekas pegawai tentera didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan itu.

Hukuman itu dijatuhi Majistret Zhafran Rahim Hamzah selepas tertuduh Azmi Ali, 48, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu dan tertuduh membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat jenayah memikat wanita berusia 44 tahun yang sudah bersuami dan supaya wanita berkenaan melakukan persetubuhan dengannya di sebuah rumah di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, di sini, awal tahun 2016.

Kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam Azman Zakaria memohon denda minimum atas alasan anak guamnya adalah pesalah pertama, sudah mengaku bersalah dan menyesal dengan perbuatannya.

“Tertuduh sudah berkahwin dan ada dua anak serta tiada rekod jenayah. Tertuduh berkhidmat sebagai tentera selama 28 tahun, namun dinasihatkan berhenti menyebabkannya menganggur.

“Pada Januari tahun ini, tertuduh berjaya mendapat pekerjaan baharu sebagai pegawai keselamatan dengan pendapatan RM4,500 sebulan. Tertuduh juga perlu menjaga ibu bapa yang mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal yang mengendalikan kes meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Rentetan kes ini, institusi perkahwinan dan hubungan kekeluargaan pengadu terjejas, malah rumah pengadu dan isteri juga dijual serta perniagaannya gulung tikar sehingga pengadu terpaksa pulang ke kampung di Terengganu.

“Pengadu juga mengalami kemurungan dan menerima rawatan serta kaunseling di klinik kesihatan di Terengganu,” katanya.

Harian Metro pada 28 September 2020 melaporkan pegawai kanan tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan memikat isteri orang.

Sumber: Harian Metro

 

Baca Juga: Penghantar Makanan Didenda RM4,500, Rakam Wanita Semasa Mandi

Tindakan seorang penghantar makanan mengambil gambar dan video seorang wanita sedang mandi membawa padah apabila dia didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Mohd Khalis Rusli, 32, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa telah mengaibkan kehormatan seseorang wanita berusia 28 tahun, dengan cara mengambil gambar dan video mangsa sedang mandi melalui telefon, di sebuah unit pangsapuri di Jalan Tasik Permaisuri, di sini pada jam 3 pagi, 13 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh pergi ke lokasi berkenaan dan melakukan jenayah itu melalui tingkap bilik mangsa.

Semasa prosiding, pemuda itu merayu agar dikenakan denda pada kadar yang rendah kerana baru sahaja mendapat kerja awal bulan ini, selain perlu menanggung ibu bapa dan adik-beradik.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tindakannya telah mengaibkan mangsa kerana mengambil gambar yang tidak senonoh.

“Mahkamah perlu mengambil kira keselamatan masyarakat selain tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply