Bertengkar Ketika Goreng Kentang, Suami Celup Muka Isteri Dalam Minyak Panas | Akibat bertelagah dengan isteri, lelaki ini dilaporkan bertindak kejam dengan mencelupkan muka isterinya ke dalam kuali yang berisi minyak mendidih di sebuah bandar Al Ramtha, Jordan, baru-baru ini.

Menerusi Gulf News, insiden tersebut terbongkar selepas mangsa yang berusia 28 tahun itu mendedahkan perkara berkenaan kepada media tempatan.

Mangsa menceritakan bahawa pada mulanya suaminya telah menarik rambutnya di depan ketiga-tiga anak sebelum suspek mencelupkan wajahnya ke dalam minyak mendidih. Ketika mangsa cuba untuk melarikan diri, suspek juga telah bertindak menyiram minyak ke tubuhnya.

Mangsa turut menyatakan bahawa dia tidak tahu mengapa suaminya itu sanggup melakukan kekerasan tersebut di depan anak-anaknya.

Sebelum hari kejadian, mangsa memberitahu bahawa dia dan suami telah menziarahi keluarga dan tiada apa-apa masalah yang terjadi antara mereka.

Mangsa mendakwa bahawa insiden penyiraman minyak panas itu terjadi pada waktu pagi ketika mereka berdua berjaga untuk menyiapkan sarapan.

Tambahnya, dia menyedari bahawa suaminya sedang memotong kentang pada jam 7.30 pagi sebelum menanyakan kepada suaminya sama ada perlu menyediakan sarapan pagi atau sebaliknya.

Mangsa kemudian berasa hairan apabila suaminya tiba-tiba menyediakan kuali besar berisi minyak panas walaupun dia belum selesai mengupas kentang tersebut.

Tambah mangsa, ketika dia hendak menukar kuali kepada kuali yang lebih kecil, suaminya tiba-tiba naik angin.

Dia memberitahu bahawa suaminya itu terus menarik rambutnya dan mencelupkan mukanya ke dalam minyak mendidih di hadapan anak-anaknya.

Mangsa sempat melarikan diri, namun suaminya itu mengekorinya sambil memegang minyak mendidih dan terus menyiramkan ke tubuhnya.

Sehingga kini mangsa didakwa tidak mengentahui punca sebenar mengapa suaminya tersebut bertindak di luar kawalan sebegitu selain memberitahu bahawa perkahwinannya itu sudah mencecah 15 tahun.

Susulan daripada kejadian itu, suaminya dilaporkan telah ditahan sementara menunggu hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Sumber: Suara.com

Share.

Leave A Reply