Betul Ke Air Mandian Jenazah Nabi SAW Naik Ke Langit ? Ini Jawapan Bekas Mufti Yang Ramai Tak Tahu | Tengah makan di tempat makan best, tiba-tiba ternampak sebaran di media sosial kisah air mandian jenazah Nabi SAW naik ke langit dan jadi hujan. Adakah benar kisah ni? Ini jawapan Mufti KL yang ramai tak tahu. Tolong jangan abaikan artikel ni.
BETUL KE AIR MANDIAN JENAZAH NABI SAW NAIK KE LANGIT?
Assalamualaikum ustaz. Saya nak tanya. Saya ada dengar yang air daripada mandian jenazah Nabi SAW itu naik ke langit kemudian jadi air hujan dan apabila ia turun ke satu kawasan akan jadi rahmat kawasan itu.
Apakah benar kisah tersebut. Adakah terdapat riwayat-riwayat yang sahih berkenaan air mandian jenazah Nabi SAW?.
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Pertama, sebagai seorang muslim, kita digalakkan dan diperintahkan untuk memastikan keabsahan dan kesahihan setiap maklumat yang didengari. Ini berdasarkan firman Allah SWT :
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَـٰلَةٍ فَتُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَـٰدِمِينَ
Maksudnya :” Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
(Surah al-Hujurat : 6)
Tambahan lagi, Sheikh Al-Maraghi ketika menafsirkan ayat ini beliau mengatakan :
“Ayat ini bermaksud wahai orang-orang yang beriman jika datang kepada kamu orang yang fasiq sifatnya (yang diragui) dengan apa-apa berita, maka berhentilah dan minta penjelasan tentang perkara yang sebenar. Jangan berpegang dengan kata-katanya (berita yang dibawanya).”
Rujuk Tafsir Al-Maraghi (26/127)
Apatah lagi jika ianya melibatkan perihal Nabi SAW. Nabi SAW telah memberikan amaran kepada sesiapa yang cuba-cuba untuk menipu atas nama Baginda SAW. Baginda bersabda :
مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
Maksudnya :” Sesiapa yang menipu ke atasku secara sengaja, maka tersedialah tempat dia di neraka,maka tersedialah tempatnya di neraka.”
Riwayat al-Bukhari (1291) , Muslim (4)
TIADA SAHABAT DAPAT MENGESAHKAN
Kedua, berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami tidak dapati sebarang athar atau riwayat yang menyatakan tentang keadaan air mandian jenazah Nabi SAW tersejat naik ke langit kemudian menjadi hujan. Tiada seorang sahabat pun yang mengesahkan atau menceritakan tentang apa yang berlaku kepada air mandian jenazah Nabi selepas mereka memandikan Baginda SAW.
Kisah berkenaan air mandian jenazah Nabi SAW yang tersejat naik ke langit kemudian menjadi hujan dinisbahkan kepada persoalan Sheikh Mutawalli Sya’rawi di dalam satu muktamar. Namun tiada siapa yang dapat mengesahkan perkara berkenaan.
Terdapat satu riwayat yang menceritakan tentang air mandian jenazah Nabi yang dinukilkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya. Kata beliau :
Yahya Bin Yaman menceritakan kepada kami daripada Hasan Bin Soleh daripada Jaafar Bin Muhammad. Beliau berkata :
كَانَ الْمَاءُ مَاءُ غُسْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ غَسَّلُوهُ بَعْدَ وَفَاتِهِ يَسْتَنْقِعُ فِي جُفُونِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ عَلِيٌّ يَحْسُوهُ
Maksudnya :” Air mandian yang digunakan ketika mana para sahabat Nabi memandikan jenazah Baginda berkumpul di alis mata Nabi SAW. Lalu Ali pun meminumnya.”
Riwayat Imam Ahmad (2403) di dalam Musnadnya.
Namun riwayat ini dipertikaikan dan dihukum lemah kerana terputus sanadnya dan ada keguguran perawi di dalamnya. Jaafar Bin Muhammad tidak pernah menyaksikan peristiwa yang dikisahkan di dalam riwayat ini. Di antara beliau dan kisah ini ada perawi yang digugurkan. Oleh itu, sanad kisah ini adalah dhaif. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Sheikh Syu’aib al-Arnaut.[1]
KESIMPULAN – BERHATI-HATI DENGAN SEBARAN PELIK
Kesimpulannya, tiada satu pun pengesahan, penyaksian atau penceritaan dari sahabat Nabi SAW berkenaan air mandian jenazah Nabi SAW. Berhati-hatilah dalam menerima apa-apa maklumat dan pastikan dahulu kesahihannya sebelum disebarkan.
Suka untuk kami nukilkan kata-kata Ibnu Hajar al-Asqalani. Kata beliau :
من تكلم في غير فنه أتى بالعجائب
Maksudnya :” Barangsiapa yang bercakap (sesuatu perkara) yang bukan bidangnya, dia akan datangkan perkara-perkara yang pelik.”
Semoga Allah sentiasa memandu kita untuk mengikuti sunnah Nabi SAW. Wallahu’alam. JANGAN LUPA UNTUK KONGSIKAN.
Sumber: Mufti KL
ANDA MUNGKIN BERMINAT – SIAPAKAH SAHABAT BERTUAH YANG MEMANDIKAN JENAZAH SAW ? NI JAWAPAN MUFTI (LINK)