Budak 6 Tahun M@ut Dihempap Pokok Reput | Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut secara tragis selepas dihempap sebatang pokok reput yang tumbang ketika sedang bermain di perkarangan sebuah sekolah di United Kingdom (UK), tiga tahun lalu.
Lapor Daily Mail, Ella Henderson sedang bermain bersama rakan-rakannya di pekarangan Gosforth Park First School di Newcastle.
Ketika kejadian, sebahagian pokok willow yang reput, tumbang ke arah Ella lalu menghempap badan mangsa.
Kejadian itu berlaku pada 25 September 2020 dan Ella meninggal dunia pada keesokan harinya.
Mahkamah Majistret South Tyneside mengenakan denda sebanyak 280,000 pound (RM1.49 juta) ke atas Majlis Perbandaran Newcastle kerana gagal menebang pokok yang reput sehingga menyebabkan insiden itu berlaku.
Majlis Perbandaran Newcastle mengaku bersalah gagal memastikan keselamatan Ella dan orang lain di sekolah itu di bawah Akta Kesihatan dan Keselamatan di Tempat Kerja.
Dalam sesi pendengaran, mahkamah dimaklumkan bahawa pokok itu dikesan menunjukkan tanda-tanda reput oleh pakar arboris bertauliah seawal 23 Februari 2018 apabila diarah melakukan pemeriksaan lanjut.
Bagaimanapun, ia dijalankan oleh pasukan kurang berkelayakan sehingga akhirnya keadaan bahaya yang timbul itu tidak dapat dielakkan.
Sementara itu, ibu bapa mangsa, Vikki dan Neil Henderson berasa sedih dengan insiden menimpa anaknya dan berharap perkara itu tidak berulang pada kanak-kanak lain.
Katanya bahawa mereka memohon semua pihak berkaitan mengambil iktibar daripada pengajaran ini.
Sumber: Utusan Malaysia
Artikel Lain
Kepala Kanak-Kanak 6 Tahun Tersepit Di Kerusi Tadika
Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan kesakitan kira-kira 15 minit apabila kepalanya tersepit pada kerusi di sebuah tadika di Sekinchan di sini, pada Rabu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, kejadian jam 11.37 pagi itu melibatkan mangsa berusia enam tahun ketika sesi pembelajaran di tadika tersebut.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan daripada pihak tadika pada jam 11.42 pagi.
“Seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan bergegas ke tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Norazam berkata, sejurus tiba di lokasi, pasukannya mendapati kepala kanak-kanak lelaki itu masih tersepit pada kerusi tersebut.
Ujar beliau, anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas bagi menyelamatkan mangsa dalam tempoh lima minit.
“Operasi berjalan lancar dan tamat sepenuhnya jam 11.54 pagi dan kita dapati murid itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pengurusan tadika bagi urusan lanjut,” ujarnya.
Sumber : SH
Kanak-Kanak 6 Tahun Tertidur Dalam Kereta Berkunci Berjaya Diselamatkan
Tindakan pantas Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang terkunci di dalam sebuah kereta di Jalan Sultanah, Taman Uda Alor Setar, dekat sini pada petang Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira dua minit membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas untuk menyelamatkan mangsa berusia enam tahun itu.
Menurutnya, seorang pegawai dan tujuh anggota telah digerakkan ke lokasi selepas Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan Kecemasan.
“PGO menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan menerima panggilan kanak-kanak terkunci di dalam kereta Perodua Alza pada jam 6.08 petang.
“Mangsa seorang kanak-kanak lelaki sedang tidur di dalam kereta berkenaan dan anggota BBP Alor Setar berjaya membuka pintu kereta dan mengeluarkan mangsa berkenaan dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ahmad Naufal berkata, Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.28 petang.
Sumber : KMN