LIPIS – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun terpaksa menahan sakit kira-kira 30 minit sebelum kakinya yang tersepit pada roda motosikal berjaya dikeluarkan pihak bomba di Taman Fah Choon di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba Kuala Lipis, Haslizan Ramli berkata, seramai tujuh anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.54 pagi.
“Sejurus tiba di lokasi pada pukul 11.58 pagi anggota bomba mengesahkan kaki kanan seorang kanak-kanak lelaki telah tersepit di roda motosikal jenis Demak.
“Anggota bomba melakukan penugasan menyelamat dan berjaya mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit dan mangsa diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Haslizan, tugas mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit mengambil masa hampir 30 minit dan kanak-kanak lelaki itu turut mengalami kecederaan di bahagian kakinya yang tersepit.
Ujarnya, penugasan menyelamat itu turut dibantu oleh anggota polis dan kanak-kanak berkenaan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Tak Sempat Jemput Adik Di Pusat Tahfiz, 3 Beradik M4ut Tersepit
Tiga maut manakala seorang lagi cedera apabila kenderaan dinaiki mereka dipercayai terbabas di Kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) arah barat, di Maran, Kuantan, Pahang pada Sabtu.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, mereka yang maut ialah dua wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa, namun identiti mereka masih belum diketahui.
“Bomba dimaklumkan mengenai kejadian pada 8.10 pagi dan setiba di lokasi kejadian, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil dengan dua daripada mangsa yang maut tersepit di dalam kenderaan itu,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Ismail berkata, jenazah mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan difahamkan dibawa ke Hospital Jengka, Maran, Kuantan, Pahang untuk bedah siasat.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superitendan Norzamri Abd Rahman mengesahkan kesemua mangsa adalah adik-beradik.
Beliau berkata, mereka yang maut ialah pemandu kereta, Siti Fatimah Yusry, 20, abangnya Ahmad Basyir, 27, dan Saiedah yang berusia 15 tahun.
Manakala seorang lagi adik mereka Adawiyah, 11, parah di kepala dan dirawat di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh.
“Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 7 pagi (Sabtu) selepas kereta dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Norzamri berkata, kesemua mereka yang beralamat di Kulai, Johor sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di negeri itu selepas menjemput seorang lagi adik mereka, Nurul Syafiqah, 18, yang belajar di pusat tahfiz di Jerantut.
Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Nurul Syafiqah berkata, dia berasa pelik apabila bapa saudaranya yang ‘muncul’ di pusat tahfiznya di Jerantut.
Nurul Syafiqah berkata, jenazah Ahmad Basyir, Siti Fatimah dan Saiedah yang masing-masing anak kedua, lima dan tujuh daripada lapan beradik akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Jengka 11 sebaik urusan bedah siasat selesai, kerana mereka pernah menetap di tanah rancangan itu sebelum berpindah ke Kulai.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Muhatair Muhammad, 40, menyifatkan semua anak saudaranya itu sebagai anak yang baik dan sangat rapat antara satu sama lain, dan kali terakhir mereka bertemu empat hari lepas.
“Saya ke rumah mereka di Kulai dan sempat membawa Saiedah serta Adawiyah berjalan-jalan. Semasa itu, mereka ada memberitahu tak sabar nak ke Jerantut bagi mengambil Nurul Syafiqah,” katanya.
Sumber: KMN