Budak Lelaki Nekad Lari Rumah, Merajuk Gara-gara Tak Benarkan Main Basikal | Hanya kerana tidak dibenarkan bermain basikal dan permainan video dalam telefon bimbit, seorang kanak-kanak lelaki nekad untuk melarikan diri dari rumahnya malam tadi.

Budak Lelaki Nekad Lari Rumah, Merajuk Gara-gara Tak Benarkan Main Basikal

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata kanak-kanak berusia 11 tahun itu ditemui seorang lelaki di perhentian bas yang terletak 200 meter dari rumah kanak-kanak berkenaan di Setia Alam jam 9.47 malam.

“Lelaki itu menemui mangsa ketika melalui lokasi berkenaan dan menyerahkan kanak-kanak berkenaan di Balai Polis Setia Alam.

“Siasatan awal mendapati, mangsa keluar rumah pada jam 8.30 malam kerana merajuk ekoran tidak dibenarkan bermain basikal dan bermain permainan di telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Baharudin berkata, bapa kanak-kanak itu hadir ke balai polis kira-kira pada jam 10 malam untuk mengambil anaknya.

Menurutnya, pihak polis turut memberi nasihat dan teguran kepada keluarga kanak kanak itu supaya lebih peka dalam penjagaan anak.

“Seruan pihak polis juga supaya masyarakat lebih prihatin terhadap isu kekeluargaan terutama ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa gambar, video di media sosial seorang lelaki menemui seorang kanak-kanak di perhentian bas Setia Alam dan menyerahkannya kepada polis.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply