Perlis Larang Individu Rentas Negeri Hadir Solat Aidiladha | Khalifah Media Networks – Seperti yang kita sedia maklum, tidak lama lagi umat Islam di seluruh negara bakal meraikan Hari Raya Aidiladha. Namun, pastinya suasana sambutan perayaan Aidiladha tidak lagi seperti tahun yang sebelum-sebelum ini ekoran penularan wabak Covid-19.

Perlis Larang Individu Rentas Negeri Hadir Solat Aidiladha

Terbaru, individu yang terlibat dengan aktiviti rentas negeri, termasuk mereka yang berulang alik bekerja setiap hari. Tidak dibenarkan hadir ke solat sunat Aidiladha di Perlis pada Selasa ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah larangan itu membabitkan ahli keluarga dan individu yang tinggal bersama mereka. Melainkan ahli keluarga dan individu berkenaan telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin Covid-19. Sama ada keluaran Pfizer, AstraZeneca atau sinovac.

“Pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi prosedur operasi standard,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Pengerusi MAIPS, berkata bagi kariah Kota Raja Arau. Solat sunat  Aidiladha akan didirikan di Dataran Istiadat Istana Arau pada 8 pagi untuk sesi pertama. Manakala sesi kedua pada 9 pagi di pekarangan Masjid Negeri Arau sekiranya berlaku limpahan jemaah.

“Jika cuaca tidak mengizinkan, maka satu sesi solat sahaja akan didirikan di masjid-masjid berdasarkan kapasiti maksimum dengan penjagaan SOP ketat pada 8.30 pagi,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM11,600 kepada amil kariah Masjid Kampung Binjal di sini, semalam. Ianya untuk diagihkan kepada 29 asnaf kariah tersebut, demikian menurut kenyataan itu.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply