Budak Terperangkap Dalam Tiang Konkrit Meninggal Dunia | Budak lelaki Vietnam berusia 10 tahun yang terperangkap di ruang kosong di dalam tiang konkrit di tapak pembinaan, selama empat hari, disahkan meninggal dunia pada Rabu.

FOTO menunjukkan pasukan penyelamat cuba menaikkan tiang konkrit dalam usaha menyelamatkan mangsa. FOTO AFP

Penyelamat di wilayah Dong Thap di Dataran Mekong sebelum ini berusaha untuk menaikkan tiang itu dari kedalaman 35 meter untuk membawa keluar budak lelaki bernama Thai Ly Hao Nam.

Budak itu sebelum ini dilaporkan terjatuh ke dalam ruang kosong di dalam tiang selebar 25 sentimeter ketika dipercayai mencari besi buruk.

Tiang itu ditanam di dalam tanah sebagai sebahagian daripada struktur jambatan baharu pada Sabtu.

Deputi Ketua wilayah, Doan Tan Buu pada Rabu berkata, kanak-kanak itu sudah meninggal dunia.

Beliau kata kepada pemberita di tapak pembinaan, dia terperangkap di dalam ruang kosong itu, dengan banyak kecederaan dan tidak ada cukup oksigen.

Beliau berkata, pihaknya sudah bertungkus lumus untuk menyelamatkan kanak-kanak lelaki itu.

Beliau juga menyatakan bagaimanapun, keadaan persekitaran bermakna sukar untuk budak itu terselamat.

Buu berkata, pengumuman mengenai kematian kanak-kanak itu dibuat selepas merujuk kepada pasukan perubatan.

Beliau berkata, penyelamat kini berusaha untuk membawa keluar mayat mangsa untuk tujuan pengebumian, namun menyatakan usaha itu amat sukar.

Pihak berkuasa sebelum ini mengerahkan ratusan askar dan pakar kejuruteraan untuk menyelamatkan Nam.

Paip logam sepanjang 19 meter diturunkan ke dalam tiub konkrit itu di mana budak itu terperangkap. Ia bagi mengalihkan dan membawa keluar lumpur.

Usaha menyelamat dilakukan secara perlahan dan berhati-hati dengan pasukan penyelamat cuba mengeluarkan lumpur dan air untuk mengurangkan tekanan di sekeliling tiang, namun usaha itu tidak berjaya.

Sumber: Harian Metro

 

Artikel Lain

100 Askar Dikerah Selamatkan Budak Terperangkap Dalam Tiang Konkrit

100 Askar Dikerah Selamatkan Budak Terperangkap Dalam Tiang Konkrit | Vietnam mengerahkan tentera dan pakar kejuruteraan untuk mencuba membebaskan seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang terperangkap dalam tiang konkrit berongga yang tertimbus di tapak pembinaan.

Lokasi di mana kanak-kanak berusia 10 tahun terperangkap dalam tiang konkrit berongga di Dong Thap, Vietnam. - FOTO AFP

Pasukan penyelamat berharap dapat menaikkan tiang itu dari lubang sedalam 35 meter dan membawa keluar budak lelaki itu, bernama Thai Ly Hao Nam.

Budak berkenaan sudah terperangkap selama tiga hari dan tidak jelas sama ada dia masih hidup.

Nam terjatuh ke dalam batang tiang selebar 25 sentimeter yang juga sebahagian daripada jambatan baharu di wilayah delta Mekong Dong Thap, pada Sabtu, dipercayai ketika mencari besi buruk.

Paip logam yang lebih lebar sepanjang 19 meter telah diturunkan di sekeliling tiub konkrit di mana Nam terperangkap untuk membolehkan mereka mengeluarkan lumpur dari sekeliling tiang dan cuba mengangkatnya keluar.

Pasukan penyelamat sedang melembutkan dan mengeluarkan lumpur dan air untuk mengurangkan tekanan di sekeliling tiang sebelum mengangkatnya — kemungkinan besar lewat petang Selasa.

Kira-kira 100 askar dengan peralatan profesional telah dikerahkan di tapak tersebut, yang telah ditutup daripada orang ramai sementara usaha menyelamat diteruskan.

Doan Tan Buu, timbalan pengerusi jawatankuasa penduduk wilayah Dong Thap berkata, budak lelaki itu telah terperangkap di dalam tiang kecil itu selama empat hari, dengan andaian beberapa kecederaan. Harapan untuk dia hidup adalah terhad.

Dua hari usaha menyelamat setakat ini tidak membuahkan hasil.

Beliau berkata mereka telah mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan budak lelaki itu menggunakan langkah dan peralatan di tempat kejadian.

Memetik Akhbar Tuoi Tre yang dikawal kerajaan Buu berkata, mereka kemudiannya terpaksa melaporkan dan meminta bantuan daripada peringkat kebangsaan dan orang yang mempunyai kepakaran.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply