Buka Sempadan Ketika Kes Tinggi, Keputusan Yg Kurang Tepat- Pakar | Kuala Lumpur: Pembukaan sempadan antarabangsa perlu dikaji bukan saja dari impak ekonomi malah kepentingan kesihatan juga perlu diberi perhatian.

Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Rosnah Sutan berkata, pembukaan sempadan ketika kes positif masih tinggi dilihat keputusan kurang tepat kerana risiko penularan boleh melonjak.

Menurutnya, walaupun pembukaan sempadan penting untuk menjana ekonomi namun kemampuan pengurusan kesihatan juga perlu diambil kira.

“Pembukaan sempadan memang penting untuk ekonomi namun kerajaan perlu lihat kemampuan fasiliti dan petugas kesihatan sedia ada sekiranya kes terus melonjak.

“Kes positif meningkat dari hari ke hari disebabkan impak Omicron selain ada sikap sambil lewa masyarakat.

“Jika sempadan dibuka apa yang dibimbangkan keupayaan kesihatan kita pula tidak mampu menampung kapasiti pesakit,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, peningkatan kapasiti kemasukan hospital dan beban petugas kesihatan akan melambatkan hasrat Malaysia keluar dari wabak ini dan menuju endemik.

Katanya, kos kesihatan yang ditanggung kerajaan juga akan bertambah kerana perlu menyediakan keperluan perubatan dan kuarantin.

“Keperluan pembukaan sempadan antarabangsa tidak dinafikan kepentingannya namun kita perlu pastikan penularan tempatan ini dikawal terlebih dulu.

“Sekiranya kes sudah menunjukkan penurunan, kerajaan sudah boleh mempertimbangkan pembukaan sempadan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply