Bukan Semua Rezeki Berbentuk Wang. Kisah Rider Ini Bukti Pertolongan Allah.
“Menurut rider tersebut, dia sudah buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.”
Hakikat kehidupan tidak pernah terpisah daripada ujian. Setiap insan pasti diuji dengan pelbagai cabaran sama ada melibatkan kewangan, kesihatan mahupun tekanan hidup seharian. Dalam kesempitan itulah, ramai yang memilih untuk terus bersabar dan berusaha sedaya upaya demi kelangsungan hidup.
Namun, ada kalanya rezeki yang ditentukan Allah SWT hadir melalui perantaraan orang lain dalam bentuk pertolongan yang tidak disangka-sangka.
Itulah yang dialami oleh seorang rider penghantar makanan yang tidak mampu menahan sebak apabila mengetahui kos membaiki motosikalnya telah ditanggung oleh insan berhati mulia.
Motosikal Rosak Di Tepi Jalan
Menerusi satu video yang dikongsikan di TikTok oleh Minyak Hitam Jalanan, kelihatan rider berkenaan terduduk di bahu jalan selepas rantai motosikalnya tercabut ketika melalui kawasan berhampiran Ikea Damansara.
Dalam keadaan terdesak, dia menghubungi influencer yang juga mekanik dikenali sebagai Abang Minyak Hitam Jalanan bagi mendapatkan bantuan.
“Petang semalam, masa tu aku dekat tasik Ikea Damansara. Lepas pukul 5 petang biasanya aku balik rumah ambil minyak hitam yang dah dijual. Baru nak jalan, tiba-tiba ada seorang abang ni call,” kongsi Abang Minyak Hitam Jalanan.
Ramai Cuba Bantu, Namun Gagal
Abang Minyak Hitam Jalanan kemudian meminta lokasi serta gambar keadaan motosikal rider itu sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Menurut rider tersebut, dia sudah buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Beberapa orang awam sempat berhenti untuk membantu, namun tidak berjaya menyelesaikan masalah motosikalnya.
“Abang bagi lokasi dekat highway LDP. Aku video call dia, kebetulan laluan balik rumah aku. Aku cakap tunggu tiga hingga empat minit, aku sampai,” jelasnya.
Terjatuh Akibat Rantai Tersangkut
Setibanya di lokasi, rider memaklumkan rantai motosikalnya tersangkut sehingga menyebabkan dia terjatuh. Mujur ketika kejadian tiada kenderaan di belakang, sekali gus mengelakkan insiden lebih buruk.
Ketika proses pembaikan, rider meminta agar rantai motosikalnya dibuka dan memaklumkan akan memanggil rakannya untuk menunda motosikal tersebut ke rumah. Dia turut menyatakan sudah membeli alat ganti, namun tidak sempat membaikinya sendiri.
Gunakan Duit Infak Untuk Membantu
Ketika membaiki motosikal, Abang Minyak Hitam Jalanan menyedari keadaan kewangan rider tersebut yang serba kekurangan.
“Dalam hati aku cakap, abang ni memang tak cukup duit. Brake pad pun dah nipis. Aku tukar brake pad dia, lepas tu dia call isteri mungkin nak minta duit sebab dia kata baru buat dua order je hari tu, satu pun RM3.50,” katanya.
Tersentuh dengan situasi itu, beliau mengambil keputusan menggunakan duit infak yang ada untuk membantu rider tersebut sepenuhnya.
“Aku cakap dalam hati, tak apa, mungkin ini rezeki dia. Aku tukar brake pad, tukar rantai semua. Bila aku kata tak payah bayar, anggaplah rezeki… Ya Allah, dia terus menangis. Aku pun menangis sekali.”
Menitis Air Mata, Saling Berpelukan
Dalam video tersebut, jelas kelihatan wajah rider itu tidak mampu menahan air mata sebaik dimaklumkan bahawa dia tidak perlu membayar sebarang kos pembaikan.
Mereka juga dilihat saling berpelukan, manakala Abang Minyak Hitam Jalanan berkata dia benar-benar memahami kesusahan yang dilalui oleh rider berkenaan.
Kisah Silam Buat Ramai Tersentuh
Meninjau ke ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa sebak dengan kejadian tersebut. Seorang individu yang dipercayai kenalan rapat rider itu turut mendedahkan kisah silam yang menyayat hati.
Menurutnya, rider tersebut pernah terlibat dalam kemalangan ketika menghantar makanan dua tahun lalu sehingga menyebabkan dia koma dalam tempoh yang lama.
“Rider ni kawan saya. Isteri dia pun kawan saya. Dua tahun lepas dia kemalangan masa buat GrabFood, lama koma. Mereka dah lama kahwin tapi belum ada zuriat. Doakan mereka dikurniakan anak yang soleh dan solehah,” tulisnya.
Kisah ini nyata mengingatkan ramai bahawa sekecil-kecil bantuan mampu memberi makna besar dalam kehidupan orang lain dan rezeki itu sentiasa hadir tepat pada waktunya.
@minyakhitamjalanan_ Cerita ptg semalam, mase tu aku dekat tasik Ikea Damansara, mmg lepas pukol 5ptg aku selalu akan balik rumah dulu amik minyak hitam yang dah jual di tasik Ikea, aku baru je nak jalan ade seorg abg ni call.. Abg: Assalamualaikum abg, boleh tolong ke rantai saya tersangkut, dekat spoket blkg, boleh ke abg tolong saya.. 🧑🏻🔧: w’asalam ye abg, abg bagi location & gambar dekat mana.. Abg food: baik abg, nanti saya bagi location & gambar.. saya pun dah tak tahu nak buat ape ni, ade dua tiga org berti tapi tak blh nak buat.. ” Abg ni bagi location, aku tgok location dekat highway LDP, aku video call dia, sekali jalan sekali aku nak balik rumah” 🧑🏻🔧: ok abg tunggu kjap dalam 3 4min saya sampai.. Abg food: baik abg saya tunggu abg tepi jalan ni.. ” Aku sampai² je dia cakap dgn aku” Abg food: rantai tersangkut abg, saya jatuh motor dekat depan tu selamat la takde kerata blkg saya tadi, 🧑🏻🔧: alhamdulillah selamat abg takde ape² sgt.. Abg food: abg bukak rantai tu, nanti saya suruh kawan saya datang tolak dekat ruma.. barang saya dah beli tapi takde Mase nak pasang.. ” Dalam hati aku cakap, dia ni tak cukup duit ni, dgn brak pad pun abis langsung, aku Tuka brak pad dia, dalam 2 3min dia call isteri mungkin suruh bank in..sebab tadi dia kata saya baru dua Oder abg, ni pun Oder rm3.50 je, dalam hati aku, takpe mungkin rezeki abg ni, aku pakai la duit infaq sebelum ni ade lagi.. dia btl² memerlukan.. aku dah siap Tuka brek pad dia, abg sekali la Tuka rantai.” ” Aku pun Tukar rantai ape semua, sekali tgok muke dia macam cerita papa Zola plk, aku pun cakap la tak payahlah bayar anggap la rezeki, Ya Allah dia terus menangis 😭, aku pun sekali menangis 😭 Allahu Akbar 😔” “Aku jalankan amanah orang yang sungguh berat bagi aku, ya Allah engkau permudahkan urusan abg ni & terus kuat mencari nafkah amin²🤲🏻” #fyp #alhamdulillah #masukberandafyp ♬ original sound – romiez
Sumber : TT minyakhitamjalanan_




