Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesan 50 lagi kes selain sedang melakukan siasatan penularan mendadak penyakit cacar monyet, menurut laporan BBC News.
Jangkitan tersebut telah disahkan di sembilan negara Eropah, serta AS, Kanada dan Australia.
Menerusi laporan BBC News, penyakit cacar monyet lebih kerap menular di kawasan terpencil di Afrika Tengah dan Barat.
Menurut Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan UK, ia adalah jangkitan virus yang jarang berlaku, biasanya ringan dan kebanyakan orang pulih dalam beberapa minggu.
Ujarnya, virus ini tidak mudah merebak antara manusia dan risiko kepada orang ramai dikatakan sangat rendah.
Pihak berkuasa, dalam usaha mengesan kontak pesakit cacar monyet di Britain, kini menyiasat bar dan spa untuk golongan gay apabila enam daripada sembilan kes di negara itu didapati pernah berkunjung ke dua premis berkenaan.
Ketua Kesihatan Britain mengarahkan siasatan menyeluruh ke tempat yang dikunjungi enam lelaki homoseksual dan biseksual itu selepas mereka diuji positif cacar monyet pada minggu lalu.
Ia termasuk bar, kelab dan sauna, menurut kemas kini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Corak sama dikesan di Eropah, di mana tujuh lelaki gay atau biseksual diuji positif di Sepanyol dan sembilan lelaki yang kebanyakannya berusia lebih muda turut disahkan dijangkiti wabak itu di Portugal.
Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA) mengeluarkan amaran kepada golongan lelaki gay supaya berwaspada terhadap ruam di muka atau bahagian kemaluan mereka.
Pakar bimbang kes yang semakin kerap dilaporkan bakal melonjak dengan cepat kerana majoriti pesakit tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, sekali gus menunjukkan kemampuan virus itu merebak dengan pantas dan lebih meluas.
Ujarnya, kontak rapat sedang dinilai berdasarkan tahap pendedahan mereka dan disusuli pengawasan aktif atau pasif selama 21 hari dari tarikh pendedahan terakhir kepada kes dan vaksinasi sedang ditawarkan kepada kontak berisiko tinggi.
Tambahnya, hubungan seksual dan tempat yang dilawati contohnya sauna, bar dan kelab sedang disiasat secara aktif untuk empat kes GBMSM (gay, biseksual dan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis).
Selain itu, sebilangan kes turut dikesan di Sepanyol dan AS selain siasatan terhadap 13 kes disyaki cacar monyet di Kanada pada Rabu lalu.
Menurut Badan Penyiaran Britain, simptom awal penyakit cacar monyet termasuk demam, sakit kepala, bengkak, sakit belakang dan sakit otot diikuti dengan bintik-bintik ruam, dengan jangkitan sembuh dalam tempoh antara 14 hingga 21 hari.
Cacar monyet tidak mengancam nyawa, namun dalam kes tertentu, penyakit itu didapati boleh membawa maut.
Sumber: BBC News