“Cadangan Bagi Rapat Saf Solat Akan Dibincangkan Tidak Lama Lagi”- Idris

| October 17, 2021 | 0 Comments

“Cadangan Bagi Rapat Saf Solat Akan Dibincangkan Tidak Lama Lagi”- Idris | Setelah negara kini berada di fasa Endemik, pelbagai aktiviti seperti melancong, merentas negeri telah dibenarkan oleh kerajaan dan ia mestilah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan justeru dikhabarkan bagi aktiviti masjid dan surau termasuk cadangan merapatkan susunan saf ketika solat berjemaah bakal dibincangkan tidak lama lagi menurut laporan Sinar Harian, baru-baru ini.

"Cadangan Bagi Rapat Saf Solat Akan Dibincangkan Tidak Lama Lagi"- Idris

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, beliau sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya mengatur Muzakarah Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang akan diadakan pada Rabu ini.

Jelasnya, muzakarah yang bakal diadakan kali ini adalah bagi mendengar taklimat mengenai penilaian risiko semasa Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan membincangkan beberapa isu SOP khususnya mengenai aktiviti masjid dan surau.

Perbincangan tersebut dikatakan termasuk dengan cadangan SOP untuk merapatkan kembali susunan saf ketika solat berjemaah.

Kerajaan sebelumnya dilaporkan telah bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa bagi Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah daripada Fasa Dua kepada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Manakala bagi Melaka dan Lembah Klang iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor beralih daripada Fasa Tiga kepada Fasa Empat.

Tambah Idris, semua ahli muzakarah terdiri daripada mufti-mufti negeri dan ahli-ahli yang dilantik dalam kalangan pakar seperti pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut dijemput ke muzakarah terbabit.

Beliau pada masa sama berharap suatu keputusan demi maslahah umum akan dapat dicapai selain aktiviti masjid dan surau khususnya solat berjemaah seperti sediakala akan dibenarkan dengan SOP tertentu.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , , ,

Category: AGAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *