Covid-19. 14 Kes Baharu Dicatatkan | Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat 14 kes baharu dicatatkan, iaitu tiga kes import dan 11 penularan dalam negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dengan pertambahan kes positif COVID-19 itu, ia menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 8,718 kes.

“Bagi kes penularan tempatan membabitkan warganegara, dua kes dikesan di Sarawak, iaitu kes saringan bergejala yang dijalankan di pusat perubatan di Kuching dan kemudiannya dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak setelah didapati positif COVID-19.

“Satu kes lagi dikesan dalam satu pengesanan kontak rapat bagi Kluster Kejuruteraan Kuching, manakala satu kes dikesan di Sabah ketika saringan prarujukan ke Hospital Keningau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi kes penularan tempatan membabitkan warga asing pula, ia dikesan ketika saringan ulangan COVID-19 yang dijalankan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI), Sepang.

Beliau berkata, bagi kes pulih pula terdapat empat kes dicatatkan yang menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 8,519 kes atau 97.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian dicatatkan hari ini dan jumlahnya kekal 122 kes bersamaan 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sumber : BH

Share.

Leave A Reply