Covid-19. Ini Luahan Hati Rakyat Malaysia Di Itali Buat Ramai Sayu

| March 14, 2020 | 1 Comment

Covid-19. Ini Luahan Hati Rakyat Malaysia Di Itali Buat Ramai Sayu | Wabak Covid-19 sedang mengganas di Itali masa kini. Seorang rakyat Malaysia yang sedang berada di sana buat luahan hati buat ramai sayu. Baca selanjutnya.

Kami Mahu Pulang, Semakin Ramai Mati Di Sini

“KAMI mahu pulang ke Malaysia, keadaan di sini (Itali) tidak terkawal dengan jumlah mereka yang dijangkiti dan meninggal dunia akibat Covid-19 meningkat secara mendadak.

“Diharap kerajaan Malaysia dapat mengeluarkan segera rakyat Malaysia di Itali, kebanyakan hospital juga sudah tidak dapat menampung jumlah pesakit akibat terlalu ramai yang dijangkiti wabak.”

Demikian luahan rakyat Malaysia di Itali, Norul Ridzuan Zakaria, 50, yang merayu supaya kerajaan Malaysia segera mengeluarkan mereka dari negara itu selepas Itali mencatatkan angka kematian tertinggi di luar China iaitu mencecah 1,000 orang.

Norul Ridzuan yang bekerja sebagai pembekal untuk anak syarikat agensi angkasa Itali berkata, mereka sudah dikuarantin bermula pertengahan Februari manakala semua kedai, sekolah, universiti serta pejabat ditutup sepenuhnya.

“Kerajaan Itali hanya membenarkan seorang anggota keluarga untuk keluar rumah membeli barangan keperluan.

“Tetapi hanya pasar raya yang dibuka, malah kami terpaksa menunggu di luar pasar raya dengan 10 orang saja dibenarkan masuk dalam satu-satu masa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dia yang sudah menetap di Torino, sebuah daerah di utara Itali selama lima tahun berkata, di hospital pula, keadaan sesak dengan pesakit, malah ada antara mereka terpaksa ditolak kerana wad tidak mencukupi.

“Bayangkan, rakyat mereka sendiri pun terpaksa ditolak (untuk rawatan), inikan pula rakyat luar.

“Sebab itu saya memilih untuk keluar secepat mungkin dari Itali kerana keadaan di sini sudah tidak terkawal, bayangkan dalam tempoh sehari jumlah jangkitan mencecah 800 hingga 1,000 orang,” katanya.

Bapa kepada dua anak itu berkata, Kedutaan Malaysia di Rom sudah mewujudkan kumpulan Whatsapp khas dan meminta nama rakyat Malaysia yang mahu pulang segera ke tanah air.

“Ada yang memilih tidak mahu pulang kerana mempunyai beberapa kekangan, tetapi saya tetap mahu pulang kerana memikirkan keselamatan keluarga.

“Disebabkan itu, saya cuba berhubung dengan (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein (Menteri Luar), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri) melalui Facebook supaya mereka prihatin dengan nasib kami.

“Alhamdulillah, Datuk Seri Hishammuddin memberi maklum balas positif dengan membalas komen di Facebook saya,” katanya.

Dia yang berasal dari Taiping, Perak itu berkata, ketika ini penduduk di bandar terkenal seperti Milan, Venice yang terjejas paling teruk sudah keluar dan berhijrah ke bandar lain.

“Keadaan di Milan dan Venice kosong ketika ini berikutan rata-rata penduduknya sudah berhijrah ke bandar lain.

“Disebabkan itu kami takut kemungkinan ada antara mereka yang membawa wabak berkenaan ke daerah lain,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Tags: , , , , ,

Category: DUNIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *