Cubaan seorang lelaki merasuah polis dengan wang tunai RM90,000 supaya melepaskan rakannya selepas terlibat sindiket tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud memakan diri apabila ditahan pada Selasa.

Wang tunai dan peralatan yang dirampas selepas seorang lelaki cuba menyogok polis.

Datuk Kamarul Zaman Mamat, Ketua Polis Johor, berkata, suspek lelaki tempatan yang berusia 31 tahun itu menawarkan wang tersebut sebagai suapan dan dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap rakannya.

Menurut beliau. pihak polis telah memberi amaran untuk tidak melakukan sedemikian. Namun degil, suspek tetap mendesak untuk menerima wang tersebut dan akhirnya ditangkap.

Kejadian ini berlaku di Taman Suria dalam satu pertemuan antara suspek dan anggota polis terbabit.

“Tangkapan dibuat dan wang tunai tersebut yang cuba diserahkan kepada polis turut dirampas.

“Kes ini dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, suspek bertindak demikian selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat serbuan di sebuah apartment di Jalan Tanjung Puteri di sini jam 12 tengah hari Isnin.

Katanya, Apartment yang dijadikan sebagai pusat panggilan menawarkan kerja dalam talian yang tidak wujud itu menjadi sebab serbuan dilakukan.

“Semasa proses awal siasatan dijalankan, pasukan serbuan telah menerima panggilan daripada suspek. Suspek itu mengaku rakan kepada warga asing itu dan mahu berjumpa pihak polis terbabit di Taman Suria.

“Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 27 tahun. Pihak polis juga telah merampas beberapa peralatan yang digunakan untuk berhubung dan memperdayakan mangsa,” katanya.

Suspek kemudian menawarkan wang berkenaan sebelum diberkas kerana cuba merasuah pihak polis.

Sumber: Sinar Harian

 

 

Share.

Leave A Reply