Menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini adalah tindakan dan langkah yang perlu diambil bagi membantu rakyat Malaysia yang ditipu dan diculik sindiket penipuan pekerjaan , teruama di rantau Asia, Tenggara.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang rasmi Parlimen, soalan itu dan pertanyaan mengenai tindakan pencegahan diambil oleh kementerian yang terbabit serta Kedutaan-kedutaan Malaysia bagi membanteras kegiatan penipuan pekerjaan berkenaan, diajukan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BERSATU-Sabak Bernam) kepada Menteri Luar pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.
Turut tersenarai ialah soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang meminta Menteri Kewangan menjawab sama ada satu krisis kewangan sedang terbentuk berikutan nilai ringgit Malaysia menjunam berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kadar inflasi dan hutang kerajaan yang kian bertambah.
Pada sesi soal jawab pula, Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Pengangkutan mengenai inisiatif kementerian itu bagi mengawal dan memantau harga tiket penerbangan domestik pada kebanyakan masa yang mahal serta tidak berpatutan.
Selain itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mahu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan prestasi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dalam menangani kenaikan kadar inflasi keseluruhan yang meningkat kepada 4.4 peratus dan inflasi makanan kepada 6.9 peratus pada Julai 2022 sebagaimana laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) terbitan Jabatan Perangkaan Negara (DOSM).
Dewan Rakyat juga dijangka memfokus kepada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2022, RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2022, RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022, RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022 dan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali kedua.
Turut tersenarai ialah pembentangan untuk bacaan kali kedua bagi RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok (Pindaan) 2022 (dalam pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas), selain RUU Makanan (Pindaan) 2022 serta RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadualkan berlangsung selama 32 hari bermula semalam hingga 29 November depan.
Sumber : Berita Harian