Wanita yang ditemukan rentung dalam sebuah bilik di kawasan sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini, semalam disyaki dibunuh.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, mangsa berusia 25 tahun itu bekerja sebagai penyelia kedai buku di sekolah itu.
Menurutnya, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, menerima maklumat melalui panggilan MERS 999 pada jam 6.18 petang mengenai kejadian kebakaran di sebuah bilik dalam kawasan sekolah di Bandar Tun Razak, Cheras.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Balai Polis Salak Selatan pergi ke tempat kejadian dan mendapati kebakaran dipadamkan dan satu mayat dalam keadaan rentung dijumpai oleh pihak bomba.
“Mayat diserahkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Idzam berkata, berikutan kejadian itu, satu tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki berusia 30-an di dalam kawasan sekolah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti punca kejadian.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi terhadap mana-mana kejadian tanpa bukti yang sahih,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi IPD Cheras di talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584 / 585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.
Harian Metro semalam melaporkan mayat yang belum dikenal pasti identiti ditemukan rentung dalam sebuah bengkel pertanian kemahiran hidup di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Mers999 pada 6.04 petang seterusnya menghantar satu jentera bersama lapan anggota dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.
Sumber : HM