Ditetak Rakan Akibat Cakap Terlalu Kuat Ketika Sedang Bertelefon | Kebelakangan ini, pelbagai kejadian aneh berlaku ketika negara masih lagi dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Seringkali kita dengar berita seperti ini tular di media sosial hampir setiap hari.
Iskandar Puteri: Seorang pembantu kedai perabot parah selepas ditetak rakannya kerana bercakap terlalu kuat ketika sedang bertelefon, dalam kejadian di Taman Nusa Bestari, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa berusia 37 tahun, mengalami kecederaan parah dengan tiga kesan tetakan parang.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian, susulan laporan pergaduhan antara dua lelaki di sebuah premis penginapan bilik sewa di taman berkenaan.
Beliau berkata, setibanya di tingkat tiga lokasi bilik sewa berkenaan, pihak polis mendapati seorang individu dalam keadaan berlumuran darah di kepalanya.
Sementara itu, siasatan awal mendapati, mangsa ditetak rakan sebiliknya sendiri dengan tiga kesan tetakan di kepalanya.
“Ia berikutan, tindakan mangsa yang enggan menerima teguran suspek untuk memperlahankan suara ketika bercakap menerusi telefon di biliknya, sebaliknya mangsa memarahi suspek dengan kata-kata kesat.
“Apabila mangsa keluar dari biliknya, suspek yang tidak berpuas hati, mendekati mangsa sebelum mengeluarkan parang dari dalam seluarnya dan terus menetaknya di bahagian kepala sebanyak tiga kali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas lanjut, mangsa yang ketakutan kemudian melarikan diri dan turun ke tingkat bawah
Dzulkhairi berkata, hasil siasatan mendapati mangsa mempunyai 15 rekod lampau berkaitan dadah.
Katanya,mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru serta berada di dalam keadaan stabil.
“Berpandukan maklumat awam dan saksi di tempat kejadian polis akhirnya berjaya menahan seorang lelaki berumur 23 tahun yang dipercayai suspek di lokasi yang sama.
“Hasil siasatan mendapati suspek adalah seorang pekerja kilang dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Katanya, ujian saringan air kencing ke atas suspek yang dijalankan medapati keputusan negatif dan bebas daripada sebarang pengaruh dadah.
“Polis turut merampas sebilah parang panjang lebih kurang 37.7 sentimeter yang ditemui di lokasi kejadian,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Suspek akan di bawa ke mahkamah Johor Bahru bagi proses tahanan reman.
Sumber: Berita Harian