Doktor Terawal Bagi Amaran Koronavirus Akhirnya Meninggal Dunia. TAKZIAH.

| February 6, 2020 | 0 Comments

Doktor Terawal Bagi Amaran Koronavirus Akhirnya Meninggal Dunia. TAKZIAH. | Siapa sangka doktor yang terawal mengesan kehadiran koronavirus meninggal dunia selepas berminggu berada di wad hospital. Baca selanjutnya.

DIJANGKITI OLEH SALAH SEORANG PESAKITNYA

Doktor dari Wuhan di China, Dr Li Wenliang yang memberi amaran tentang kewujudan wabak koronavirus dilaporkan meninggal dunia.

Memetik laporan media antarabangsa, doktor berusia 34 tahun itu meninggal dunia pada Jumaat jam 2.58 pagi waktu tempatan di Hospital Wuhan.

Beliau sebelum itu mengalami demam dan batuk sejak 10 Januari akibat dijangkiti salah seorang pesakitnya.

Dr Wenliang antara yang paling awal bercakap mengenai koronavirus berkenaan sebagai ancaman awam.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan mengucapkan takziah atas pemergian Dr Li.

“Kami amat sedih atas pemergian Dr Li Wenliang. Apa yang kita perlu buat ialah meraikan usaha yang dilakukannya,” kata Pengarah Eksekutif WHO dunia, Dr Mike Ryan.

Pada 30 Disember lalu, Dr Wenliang memberi peringatan kepada rakan-rakannya dalam aplikasi mesej WeChat supaya berhati-hati susulan kejadian di sebuah pasar makanan laut di tempatnya.

Katanya, tujuh individu yang makan di pasar itu telah jatuh sakit dan didiagnosis dengan penyakit pernafasan yang serius serta dikuarantin di hospital tempat dia bekerja.

Dr Wenliang memberitahu rakan-rakannya, ujian yang dilakukan menunjukkan pesakit dijangkiti sejenis virus yang mempunyai simptom sama seperti SARS (sindrom pernafasan akut yang teruk).

Beliau menasihati rakan-rakannya supaya memberi amaran kepada ahli keluarga secara peribadi, tetapi tidak lama selepas itu, paparan skrin mesej yang dihantarnya menjadi tular.

Bagaimanapun, kerana tindakannya itu, beliau dituduh menyebarkan khabar angin dan dipanggil pengurusan hospital untuk menjelaskan bagaimana dia tahu tentang virus itu, sebelum dipanggil ke balai polis tempatan kerana menyebarkan khabar angin.

Dr Wenliang kemudiannya dilaporkan menandatangani satu kenyataan yang memperakui dia melakukan kesalahan dan berjanji tidak akan mengulanginya sebelum dibebaskan.

Pakar mata itu kembali bekerja selepas itu dan tanpa pengetahuannya, salah seorang pesakit yang dirawatnya adalah pembawa virus.

Selepas mengalami batuk, demam dan kesukaran bernafas, Dr Li dimasukkan ke unit rawatan rapi dan disahkan positif koronavirus pada 1 Februari lalu.

Sehingga kini, wabak koronavirus kini meragut 565 orang dengan jumlah disahkan di seluruh dunia 28,275 kes.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , , , ,

Category: DUNIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *