Dua Beradik Dikhuatiri Lemas Dalam Sungai Keratong | Dua beradik dikhuatiri lemas selepas dikhabarkan terjatuh dalam sungai apabila motosikal yang ditunggang ibu mereka hilang imbangan ketika melalui jambatan berkenaan.
Kejadian tersebut berlaku di jambatan gantung Kampung Rekoh, di sini, semalam.
Rompin: Pemangku Ketua Balai Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Mohd Isa Bidin berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pada jam 11.15 pagi itu mangsa, Dhenis Maulida Puteri Masari, tujuh tahun serta adiknya Puteri Ramadhania Azzahra yang berumur tiga tahun sedang membonceng motosikal yang ditunggang oleh ibu mereka.
Dalam pada itu, ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Liswati, 37, sedang dalam perjalanan pulang selepas mengambil kedua mangsa dari Sekolah Kebangsaan Keratong Satu ke rumah mereka di ladang Peetih, di sini.
“Apabila sampai ke tempat kejadian motosikal berkenaan hilang imbangan dan tumbang di atas jambatan, pada masa sama kedua-dua mangsa terjatuh ke dalam sungai,” katanya.
Menurut beliau, pihak polis dikatakan telah menerima panggilan berkaitan kejadian itu kira-kira pada pukul 11.20 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan operasi pencarian yang membabitkan pelbagai agensi bermula jam 12 tengah hari.
Katanya, operasi itu disertai oleh 30 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihentikan pada jam 6 petang.
Dalam pencarian yang dilakukan semalam mendapati mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan hari ini.
Mohd Isa berkata, beliau difahamkan motosikal yang ditunggang mereka dikatakan telah mengalami hilang imbangan kira-kira lima meter lagi hendak sampai ke tebing dan menyebabkan ketiga-tiga mereka terjatuh sekaligus dua mangsa yang masih kecil terus terjerumus ke dalam sungai.
Katanya, terdapat jaring yang telah dipasang pada kiri dan kanan jambatan gantung itu tetapi difahamkan akibat daripada kurang penyelenggaran, terdapat lubang besar di beberapa tempat sepanjang jambatan itu.
Beliau berkata, jambatan itu sering digunakan penduduk setempat sebagai laluan pintas memandangkan jalan raya agak jauh, dan difahamkan ibu mereka terselamat dalam kejadian itu apabila dia tersangkut di jaring.
Sumber: Berita Harian