Dua Kali Batalkan Janji Temu, Akhirnya Warga Emas Dapat Suntikan Vaksin| Pelbagai halangan perlu dihadapi oleh seorang warga emas semata-mata untuk mendapatkan suntikan vaksin. Dia terpaksa membatalkan janji temu beliau berikutan faktor pengangkutan dan lokasi yang jauh.

Dua Kali Batalkan Janji Temu, Akhirnya Warga Emas Dapat Suntikan Vaksin

Mohd Ghazaly, 62, mendapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Kegiatan Masyarakat Gopeng yang mula beroperasi pada Selasa tanpa perlu ke PPV di Dewan Bandaran Kampar kira-kira setengah jam dari rumahnya.

Menurutnya, dia tinggal berseorangan dan keadaannya yang tidak boleh berjalan akibat kemalangan ketika membuat kerja memesin rumput pada tahun lepas telah menyukarkan pergerakannya. Tambahan pula lokasi PPV juga jauh dari kediamannya.

Kini PPV baharu itu hanya dua kilometer berhampiran rumahnya yang memudahkan pergerakan dan dia terus mendapatkan bantuan rakan bagi membawa dia bagi mendapatkan suntikan. Dia juga hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin ketika itu dengan menaiki kerusi roda.

PPV itu antara dua pusat yang mula dibuka pada Selasa selain Dewan Besar Felcra Seberang Perak, sekali gus menjadikan keseluruhan PPV awam di negeri ini sebanyak 22 selain sembilan PPV Khas di hospital dan 61 PPV swasta.

Dengan pembukaan dua PPV baharu itu, didapati proses vaksinasi berjalan lancar dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dipantau petugas Kementerian Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) selain dibantu Sukarelawan Pembantu Vaksin Malaysia (MyVac) dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Seorang lagi warga emas Lam Soon Hoon, 64, berasa lega dan gembira setelah menerima vaksin dos pertama bersama-bersama isteri Chau Yok Yeng, 53, dan mereka kini rasa lebih selamat untuk berada di tempat awam.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply