Rumah Musnah Dalam Kebakaran Akibat Dipanah Petir | Sejak kebelakangan ini, kejadian rumah terbakar sering menjadi isu dan tular di media sosial. Bukan itu sahaja, mereka yang terlibat dengan kejadian seperti ini rata-rata tinggal sehelai sepinggang akibat rumah mereka musnah dijilat api.

Rumah Musnah Dalam Kebakaran Akibat Dipanah Petir

Baru-baru ini, tujuh sekeluarga termasuk bayi yang masih berusia 11 hari tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran dipercayai akibat dipanah petir di Kampung Rawai, di sini, semalam.

Difahamkan, kejadian yang berlaku kira-kira pada pukul 6.30 petang itu tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

Mangsa, Rahmah Mat Rani, 57, berkata, kebakaran di bahagian atas rumah dua tingkat itu hanya disedari selepas mendengar jeritan daripada jirannya yang meminta mereka lari menyelamatkan diri.

“Semasa kejadian saya bersama dua anak, menantu dan cucu berada di ruang tamu sebelum terdengar bunyi guruh hingga bekalan elektrik terputus.

“Selepas petir kuat, jiran nampak api merebak ke bahagian bawah dan segera minta kami keluar,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, pegawai operasi Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Ahmad Fatah Abdul Rahman berkata, seramai 23 anggota bersama empat jentera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 6.40 petang.

Beliau berkata, bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran dan punca kejadian masih dalam siasatan dengan jumlah kerugian yang dianggarkan sebanyak RM300,000.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri melaporkan tujuh kejadian pokok tumbang termasuk menghempap kenderaan di beberapa daerah akibat ribut petang semalam.

Sumber: Utusan Malaysia

Share.

Leave A Reply