Dua Lelaki Dikompaun RM5,000 ‘Upah’ Bosan Duduk Rumah | Alasan bosan duduk rumah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa padah kepada dua lelaki apabila masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM5,000.

Dua Lelaki Dikompaun RM5,000 'Upah' Bosan Duduk Rumah

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dua lelaki terbabit masing-masing berusia 32 tahun dari Kampung Chendor Sempadan dan Sungai Karang Darat, Kuantan, Pahang dikenakan kompaun kerana cuba masuk ke negeri ini tanpa surat kebenaran, 2 petang semalam.

Menurut beliau, kedua lelaki terbabit dikesan cuba merentas negeri ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di sempadan Kemaman/Kuantan di Kampung Mak Lagam, Chukai.

Oleh itu, pihak polis telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM5,000 atas kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaun Kesalahan-Kesalahan) 2021.

Dalam kes yang berasingan, pihaknya telah mengeluarkan kompaun sebanyak Rm2,000 terhadap seorang lelaki yang berusia 27 tahun kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0.

Katanya, lelaki dari Rumah Murah Kampung Bukit Kuang, Chukai dikenakan denda itu kerana telah membawa penumpang melebihi had kapasiti yang ditetapkan dan lelaki terbabit ditahan ketika melalui SJR Sekolah Pusat, di sini pada jam 3.30 petang, hari yang sama (semalam).

Menurutnya, kompaun dikeluarkan mengikut kesalahan di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaun Kesalahan-Kesalahan) 2021.

Sumber: Metro

Share.

Leave A Reply