Dua Mayat Ditemui Di Ruang Gear Pendaratan Pesawat | Dua mayat dilaporkan telah ditemukan di bahagian bawah pesawat Avianca sewaktu penyelenggaraan di Colombia pada Sabtu lalu.

Mayat Dua Penumpang Tanpa Izin Ditemui Di Bawah Pesawat

Menurut kenyataan syarikat penerbangan, Avianca berkata pesawat Avianca AV116  dengan nombor pendaftaran N765AV telah melakukan penerbangan dari Santiago, Chile pada Jumaat jam 7.56 petang waktu tempatan sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa El Dorado Bogota pada jam 4.26 petang.

Sewaktu penyelenggaraan pesawat, kakitangan syarikat penerbangan telah menemukan dua mayat di dalam ruang gear pendaratan pesawat berkenaan.

Protokal keselamatan telah dikeluarkan serta-merta dan pihak berkuasa Colombia serta Chile akan menjalankan siasatan bagi kes tersebut.

Avianca maklum dalam satu kenyataanbahawa mereka akan bekerjasama dengan pihak pengurusan lapangan terbang dan pihak berkuasa tempatan bagi memberi penjelasan serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

Susulan itu, pihak Avianca menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga kedua mayat berkenaan dan syarikat penerbangan itu menambah akan membuat pemeriksaan awal bagi setiap pesawat terlebih dahulu kerana ia merupakan tanggungjawab pihak berkuasa dan pengurusan lapangan terbang.

Sementara itu, Pejabat Peguam Negara tempatan telah bertindak memindahkan mayat berkenaan ke bilik mayat untuk proses selanjutnya.

Pejabat Peguam Negara berkata, ia adalah perkara biasa dalam penerbangan awam apabila penumpang tanpa izin (penyusup) akan bersembunyi di ruang simpanan atau kotak gear pesawat sama seperti kes ini.

Sumber: Siakap Keli

 

Artikel Lain

Lelaki Ditemukan M@ut Di Roda Pesawat

Lelaki Ditemukan M@ut Di Roda Pesawat | Seorang penumpang haram ditemukan maut di bahagian roda pesawat yang berlepas dari Gambia ke Britain.

PESAWAT TUI Airways.

Jurucakap Kerajaan Gambia, Ebrima G Sankareh mengesahkan lelaki berkulit hitam yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan maut pada pesawat sebuah syarikat penerbangan Britain, TUI Airways.

Katanya, pesawat itu dijadualkan berlepas dari Banjul ke Lapangan Terbang Gatwick di London, pada 5 Disember lalu.

Beliau berkata kerajaan Gambia menerima maklumat mengenai kejadian minggu ini daripada Polis Metropolitan di Sussex, England.

Beliau juga menyatakan bahawa menurut maklumat, lelaki berkulit hitam yang maut ditemukan dalam ruang roda pesawat tanpa dokumen pengenalan diri yang menyukarkan proses menentukan nama, umur, kewarganegaraan atau jadual perjalanan.

Katanya bahawa identitinya masih belum dikenal pasti.

Beliau berkata, pihak berkuasa Gambia sedang bekerjasama dengan polis Britain untuk menguruskan jasad lelaki itu.

Beliau bertambah lagi, mayat dibawa ke bilik mayat untuk ujian DNA dan siasatan sedang dijalankan.

Sementara itu, Felo Kanan Pusat Dasar New South, Rida Lyammouri berkata, kejadian seumpama itu walaupun jarang berlaku menunjukkan betapa terdesaknya segelintir individu untuk berhijrah sehingga mengambil pendekatan berisiko.

Kejadian individu menumpang secara haram dari Afrika ke Eropah melalui pesawat dan kapal banyak berlaku sebelum ini.

November lalu, tiga penumpang dari Nigeria ditemukan selamat di atas kemudi kapal di Kepulauan Canary selepas melalui pelayaran laut selama 11 hari.

Sumber: Harian Metro

 

Pesawat Ringan Terhempas Di Tanah Perkuburan

Pesawat Ringan Terhempas Di Tanah Perkuburan | Akhbar New York Post melaporkan bahawa sebuah pesawat ringan terhempas di atas sebuah tanah perkuburan dalam nahas udara yang berlaku di Long Island, New York ­kelmarin.

Polis daerah Suffolk berkata, sekitar pukul 1.50 tengah hari (waktu tempatan), pesawat itu terhempas di Tanah Perkuburan Beth Moses, West Babylon.

Dua orang yang menaiki pesawat itu iaitu seorang juruterbang lelaki dan seorang penumpang wanita, telah dibawa ke Hospital Universiti Good Samaritan di West Islip kerana mengalami cedera ringan, kata beberapa pegawai.

Polis berkata, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan telah menghantar petugas ke tempat kejadian.

Gambar di lokasi nahas menunjukkan pesawat itu tersadai di atas laluan tanah perkuburan tersebut, manakala tanaman hiasan dan beberapa batu nisan musnah.

Tanah perkuburan itu terletak kira-kira 3.2 kilometer dari Lapangan Terbang Republic di East Farmingdale. Lapangan terbang tersebut adalah bagi kegunaan pesawat ringan.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply