Dua Wanita Dikompaun Rentas Daerah Untuk Beli Barangan Kemas | Biarpun rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, masih ada dalam kalangan rakyat negara ini yang berdegil dan tetap ingin keluar dari berada di rumah.

Dua Wanita Dikompaun Rentas Daerah Untuk Beli Barangan Kemas

Georgetown: Dua wanita menangis kerana dikompaun selepas didapati bersalah melakukan aktiviti rentas daerah untuk membeli barangan kemas dalam pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Kompleks Bukit Jambul di sini, semalam.

Mereka yang datang dari daerah Barat Daya itu dilihat menangis ketika dihulurkan surat kompaun terbabit oleh pihak polis di sebuah kedai emas. Bukan itu sahaja, antara alasan lain mereka ialah bagi membaiki telefon bimbit di sebuah premis di kompleks berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata alasan itu tidak berasas kerana mereka tidak sepatutnya merentas daerah bagi membeli barangan bukan keperluan pada masa ini.

Dalam pada itu, terdapat juga pengunjung yang datang dari Barat Daya dan mengaku tidak tahu bahawa kompleks terbabit terletak di Timur Laut. Menurut Soffian Santong, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah lebih setahun dikuatkuasakan dan orang ramai sepatutnya menjalani kehidupan norma baharu dengan mengambil tahu sempadan daerah masing-masing.

Sementara itu, operasi bersepadu yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan beberapa agensi berkaitan.

Mengulas lanjut, Soffian Santong berkata, tinjauan pematuhan terhadap premis di kompleks berkenaan adalah memuaskan dan mengikut kepada SOP yang telah ditetapkan.

“Semua pekerja di kompleks ini mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis masing-masing, memakai pelitup muka dan mengambil suhu.

“Tujuan pemeriksaan ini bukan bagi mencari kesalahan semata-mata, tetapi lebih kepada mahu mendidik serta memastikan orang ramai berdisiplin dalam menjalani norma baharu,” katanya.

Menurut Soffian, 95 kompaun pelbagai kesalahan dikeluarkan sejak PKP dikuatkuasakan di Timur Laut, 10 Mei lalu hingga kelmarin.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply