Enam laporan polis telah diterima setakat ini terhadap pemilik akaun Facebook atau lebih popular dengan gelaran Kak Long 7E di seluruh negara.
Laporan membabitkan tindakannya yang didakwa telah menghina dan memperlekehkan nasib Orang Kurang Upaya (OKU).
Beliau didapati telah memuat naik video yang meniru mimik muka golongan tersebut menerusi laman sosialnya.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, dua laporan itu diterima di Selangor manakala satu laporan masing-masing di Terengganu, Perak, Kuala Lumpur serta Johor.
Katanya lagi, pihaknya telah menyerahkan kes tersebut kepada polis Selangor memandangkan kertas siasatan telah dibuka di negeri itu.
“Walaupun ada laporan yang diterima di Terengganu berkaitan kes ini, kita tidak mahu ada pertindihan siasatan.
“Jadi, kita telah serahkan kes ini kepada polis Selangor dan memberi kerjasama sekiranya diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Polis Dengan Jawatankuasa Pembangunan Pengurusan Polis Wanita (JPPPW) Terengganu di sini, pada Selasa.
Sumbangan kepada 10 anggota dan pegawai polis wanita yang menghidapi penyakit kronik turut disampaikan oleh Rohaimi di majlis tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, sembilan kes tatatertib telah direkodkan pada tahun lepas yang melibatkan anggota dan pegawai polis wanita di negeri ini.
Sumber: Sinar Harian