Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tidak bertanggungjawab memberikan kelulusan tayangan filem bergenre seram, Pulau yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, garis panduan kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa Lembaga Penapis Filem (LPF).
Bagaimanapun, katanya, FINAS boleh membatalkan lesen sekiranya pemegang lesen disabitkan kesalahan berkaitan kecurangan, penipuan atau keburukan akhlak.
“FINAS mengambil maklum berhubung isu video trailer filem Pulau yang tular dalam media sosial ketika ini.
“Trailer yang tular memaparkan beberapa adegan keterlaluan dan dilihat tidak menitikberatkan budaya kesopanan dan kesusilaan yang diamalkan rakyat Malaysia.
“Babak seperti ini tidak wajarnya dilakukan. Namun, kelulusan tayangan tertakluk di bawah LPF menerusi penguatkuasaan Akta 620, Akta Penapisan Filem 2002.
“Filem Pulau menerima kelulusan LPF pada September, tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan.
Md Nasir berkata, tugasan penapisan filem dilaksanakan tiga Ahli Lembaga Penapis dan keputusan panel diperakukan untuk pertimbangan Pengerusi atau Naib Pengerusi Lembaga Penapisan.
“Sesuatu pertimbangan dibuat berdasarkan peraturan dan kriteria ditetapkan tiga dokumen asas iaitu Akta Penapisan Filem, Garis Panduan Penapisan Filem dan Panduan Khusus Penapisan Filem.
“Filem adalah salah satu platform terbaik dalam menyemai semangat toleransi, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama serta bangsa.
“Namun, FINAS tidak menghalang atau menyekat usaha mana-mana pihak mengeluar dan menerbitkan karya seni sebagaimana termaktub dalam Akta 244, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 dan pematuhan kepada prosedur permohonan lesen penggambaran yang meliputi Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), Lesen Pengeluaran Filem (PF) dan Lesen Pengedaran Filem (DF) serta mana-mana akta perundangan Kerajaan Malaysia yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, FINAS akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan Peraturan-Peraturan Perlesenan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (1983), Peraturan 6 (2) selaku badan dipertanggungjawabkan dalam pengeluaran lesen penerbitan filem tempatan.
“FINAS boleh membatalkan lesen jika pemegang lesen disabitkan kesalahan berkenaan kecurangan, fraud atau keburukan akhlak.
“Sehubungan itu, FINAS menasihatkan agar penggiat seni lebih sensitif dan berhati-hati dalam penghasilan sesuatu karya kreatif dan mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan.
“Ia bagi mengelak timbul prasangka tidak baik atau kurang senang dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai latar belakang budaya dan agama,” katanya.
Sumber: BH
Berita Berkaitan..
‘Akta Kerja 1955 Tidak Boleh Diatasi’- Ujar FINAS
Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) tidak boleh mengatasi peruntukan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 dalam aspek jumlah waktu bekerja yang berkuat kuasa mulai kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata perkara itu tidak memberi kuasa perundangan kepada FINAS berhubung isu kerja lebih masa membabitkan penggiat seni.
“Maka pandangan FINAS mempunyai bidang kuasa mengambil tindakan atau menetapkan had masa kerja penggiat seni tidak tepat, malah bercanggah dari segi undang-undang.
“Saya berharap kekeliruan dan salah tafsir segelintir pihak mengenai bidang kuasa FINAS dalam isu berkaitan kerja lebih masa membabitkan pelakon dan kru produksi dapat diperbetulkan dengan penjelasan ini,” katanya.
Beliau berkata, kebajikan pekerja dan kelonggaran dalam tempoh bekerja diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 itu juga digunakan untuk penggiat industri filem.
Md Nasir berharap, penggiat seni perlu cakna dengan pindaan terkini berhubung akta agar tidak timbul salah faham antara majikan dan pekerja.
Katanya, ketetapan jumlah waktu bekerja dipersetujui dan ditetapkan mengikut terma dan syarat kontrak antara majikan (penerbit) dan pekerja (pelakon dan kru) hendaklah dipatuhi seperti diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.
Bagaimanapun, katanya, FINAS akan mengambil pendekatan terbuka dan proaktif dalam isu berkenaan.
“FINAS berhasrat mengundang wakil persatuan perfileman seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan entiti pemegang taruh berkepentingan bagi membincangkan mengenai isu berkenaan dalam masa terdekat.
“Kami terbuka menerima kritikan dan cadangan membina daripada semua pihak bagi memastikan kepentingan serta kebajikan pekerja industri perfileman sentiasa terbela dan dilindungi,” katanya.
Menteri Sumber Manusia V Sivakumar memaklumkan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 berkuat kuasa mulai kelmarin susulan terdapat keperluan untuk menguatkuasakan akta berkenaan, meskipun terdapat permintaan daripada pihak industri untuk memanjangkan tempoh penangguhan.
Pindaan itu antaranya meliputi pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam kepada 45 jam seminggu, penambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari, cuti paterniti dinaikkan daripada tiga kepada tujuh hari dan larangan diskriminasi dalam pekerjaan.
Sumber: BH