Galas Beg Berat, Tulang Belakang Murid Bengkok 40 Darjah. | BANGI: Seorang pelajar terpaksa menjalani pembedahan baru-baru ini untuk membetulkan tulang belakang yang bengkok 40 darjah.
Bapa Nurul Hanim Fazwin, 17, Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi, yang juga pakar kanak-kanak, yakin rutin menggalas beg sekolah berat bertahun-tahun bukan sahaja memberi kesan kepada anaknya, tetapi juga ramai pelajar sekolah di seluruh negara.
Susulan pembedahan itu, Nurul Hanim yang aktif bersukan sebelum ini, terpaksa menjalani kuarantin dalam ‘bilik sejuk’ di rumahnya. Beliau tidak boleh berpeluh sama sekali dan terpaksa menghuni bilik bersuhu 16 darjah celsius siang dan malam selama 21 hari.
“(Lepas ini) tak boleh bawa beg berat. Tak boleh jalan banyak sangat, tak boleh bersukan, tak boleh turun (naik) tangga,” kata Hanim, merujuk kepada nasihat pakar bedah.
Walaupun sudah menyerahkan surat doktor kepada sekolah, ayahnya masih menunggu kelulusan guru besar untuk memastikan kelas anaknya dipindahkan ke tingkat paling bawah.
Di awal wawancara, beliau akur kajian dan penyelidikan sebelum ini tidak menghasilkan bukti konklusif isu menggalas beg berat.
“Bila saya pergi PPUM, sebenarnya lagi dahsyat-dahsyat punya kes. Seawal usia 14 tahun, (sudah) 55 darjah (tulang bengkok). Banyak budak-budak yang mula menderita,” kata beliau.
Reaksi ibu bapa lain
Beliau memuatnaik gambar sinar-x tulang belakang “rosak” anaknya di laman sosial Facebook. Ketika itu, beliau menyatakan “beg sekolah berat” antara faktor di sebalik keadaan Hanim.
Hantaran itu mengundang reaksi bertali arus ibu bapa yang turut berkongsi di media sosial pengalaman anak-anak mereka, termasuk yang hanya berumur tujuh tahun tetapi terpaksa menggalas beg sekolah seberat hingga 6kg.
“Bila budak bawa beg seawal Darjah 1, berat beg mereka senang-senang 4-5kg, berbanding berat badan budak Darjah 1 paling ringan 15-18kg. Bermakna mereka (menggalas beg sekolah) sepertiga daripada berat badan.
“Mereka sudah ‘dilatih’ untuk bawa (beg) begitu (dengan membongkok). Jadi bila dibawa pada seawal umur itu jadi secara automatiknya, ia akan tetap berlaku kerosakan semasa dia membesar.”
Zaqrul memberitahu, walaupun isu beg sekolah berat bukan perkara baru, ia masih gagal ditangani dengan tuntas oleh pihak berwajib.
“Zaman ke zaman…beg lagi berat. Satu subjek ada buku teks, buku tulis, buku latihan. Ada yang disarankan KPM dan ada juga buku yg disarankan guru sebab guru tak bersetuju dengan KPM. (Akhirnya) satu subjek (ada) empat buku.”
KPM pernah mengeluarkan pekeliling pada 2018 berkenaan isu beg berat; dengan menetapkan garis panduan khusus seperti menyusun tiga hingga empat subjek sehari, mewujudkan sistem loker, mengadakan perbincangan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, menyediakan kemudahan air minuman percuma kepada pelajar, memeriksa berat beg pelajar secara berkala, dan lain-lain.
Sumber: FMT