Gara-gara Kongsi Berita Palsu, Suri Rumah Didenda RM5,000 | Masih ada segelintir rakyat Malaysia sengaja menyebarkan berita palsu mengenai Covid-19 atau berkaitan vaksin untuk mengekang penularan virus itu. Hal ini tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak. Isu penyebaran berita palsu ibarat barah dalam kalangan rakyat sejak setahun lalu.
Kangar: Seorang suri rumah didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen, di sini selepas mengaku bersalah menyebarkan berita tidak benar berkenaan penularan jangkitan Covid-19 menerusi aplikasi media sosial di Arau pada April lalu.
Tertuduh, Norjannah Rusli, 28, telah membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Musyiri Peet.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi status WhatApp melalui nombor talian yang didaftakan kepada tertuduh dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar di Lot 8664, Jalan Pauh, Kampung Belukar, Arau jam 10.31 pagi pada 18 April lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, tertuduh boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Dalam pada itu, pendakwaan dilakukan oleh Pengarah Pendakwaan Perlis, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan dan dibantu oleh peguam, Siti hajar Che Ahmad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sementara itu, Mohd Nordin dalam hujahannya berkata, ini adalah kes pertama seumpama ini di Perlis dan walaupun kesalahan berkenaan adalah kesalahan pertama tertuduh, perbuatannya memuat naik berita yang tidak sahih dan benar mengenai penularan Covid-19 di sebuah sekolah di Arau itu telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan penduduk dan guru di sekolah berkenaan.
Pihaknya memohon satu hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat untuk tidak sewenang-wenangnya berkongsi berita atau memuat naik sesuatu berita yang tidak sahih dan benar.
Zuhair yang mewakili tertuduh pula meminta mahkamah meringankan hukuman tertuduh disebabkan tertuduh sedang mengandung yang berusia 28 hari.
Selain itu tertuduh juga mempunyai dua orang anak berusia empat dan lima tahun serta suami yang baru kehilangan kerja sebagai pemandu lori disebabkan penularan Covid-19.
Menurut Zuhair, tindakan yang dilakukan oleh tertuduh yang berkongsi berita berkenaan itu hanyalah kerana gesaan kepada masyarakat supaya berhati-hati serta kegusarannya terhadap penularan jangkitan Covid-19 yang semakin naik di negeri Perlis.
Hakim Musyiri bagaimanapun telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 kepada tertuduh dan tertuduh juga boleh dipenjara lima bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh kemudian membayar denda itu.
Pada 20 April lalu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis membuat laporan polis berhubung penularan berita di media sosial yang mendakwa sembilan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka disahkan positif Covid-19.
Sementara itu, Pengarahnya, Naharudeen Othman, berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar dan setelah siasatan dilakukan hanya seorang sahaja yang disahkan positif Covid-19. Penularan maklumat yang tidak benar itu mengundang rasa panik terhadap ibu bapa dan pelajar di sekolah seluruh negeri.
Sumber: Berita Harian