Gempa Bumi Turkiye, Penduduk Jual Lembu & Kereta, Ini Sebabnya. | Seorang wanita warga emas sanggup menjual lembunya berharga 13,000 lira (kira-kira RM3,000) bagi mendapatkan wang untuk diberikan kepada kerajaan bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye.

Sarigul Kacan, 70, dari Akyaka, sebuah bandar di sempadan timur Turkiye dengan Armenia mewakili solidariti kepada mangsa gempa bumi 7.8 magnitud minggu lalu yang mengorbankan hampir 40,000 orang.

Penduduk setempat sanggup melakukan apa mereka mampu untuk membantu berjuta-juta orang yang kehilangan rumah, pekerjaan dan harta benda di negara itu.

Saluran berita Turkiye menyiarkan liputan orang yang membungkus kotak makanan, pakaian dan barangan keperluan untuk dihantar kepada mangsa terselamat.

Kacan berkata kepada media tempatan bahawa beliau menjual lembu dan akan memberikan wang itu kepada gabenor daerah untuk kebaikan mereka yang terkorban dan berada di bawah runtuhan.

Penduduk kampung di wilayah lain di Turkiye turut menjual lembu berharga mereka.

Di wilayah timur Erzurum, Nazime Kilic yang pernah terselamat daripada gempa bumi pada 1983 menjual lembu jantan kesayangannya pada harga AS$1,220 (kira-kira RM5,371) dan memberikan wang itu kepada agensi bencana Turki, lapor berita DHA.

Wanita itu berkata, mempunyai lapan anak dan memberitahu mereka bantulah semampunya.

Sakine Tanrikulu yang membesarkan anak lembunya di tengah Anatolia untuk ziarah Muslim, menjualnya tanpa teragak-agak seperti dilakukan oleh Gulper Tosun di barat Turkiye, yang menyerahkan anak lembu kesayangan dan mengumpulkan AS$960 (kira-kira RM4,226) setiap satu.

Seorang lagi mangsa gempa Erzurum yang terselamat, Cafer Gunes memberikan wang simpanannya untuk menunaikan haji berjumlah AS$2,120 (kira-kira RM9,333).

Sadullah Sezer pula menjual keretanya sekitar AS$5,000 (kira-kira RM22,000) untuk dihantar kepada agensi bencana.

Katanya kepada media tempatan bahawa mahu membantu negeri ini dan gembira menjual keretanya untuk membantu mereka yang memerlukan.

Di wilayah Bursa barat laut, Serkenaz mengait baju sejuk tanpa henti untuk mangsa yang terselamat berikutan suhu yang rendah di kawasan terjejas.

Di Elbistan berhampiran pusat gempa di wilayah Kahramanmaras, suhu menjunam sehingga -15 darjah Celsius pada sebelah malam.

Kebaikan penduduk turut ditujukan kepada pasukan penyelamat asing apabila mereka diberikan hidangan panas secara percuma.

Sumber: Harian Metro

 

Artikel Lain

Gempa Bumi Di Turkiye & Syria, Ini Tindakan Penduduk Palestin Lakukan.

Gempa Bumi Di Turkiye & Syria, Ini Tindakan Penduduk Palestin Lakukan. | Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza pada Ahad mengadakan kempen khas derma darah untuk membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Kempen ini menunjukkan solidariti mereka kepada rakyat Turkiye dan Syria.

“Apa yang berlaku di Türkiye dan Syria turut memberi kesan kepada seluruh negara Arab dan Islam,” kata pengarah eksekutif Institut Al-Amal untuk Anak-anak Yatim, Iyad al-Masri yang menganjurkan kempen derma darah itu, lapor Agensi Anadolu.

Bertemakan One Body, al-Masri berkata, kempen sehari itu “menghantar mesej kasih sayang dan keamanan untuk semua.”

Menurut angka rasmi terkini, lebih 30,000 orang terbunuh dan lebih 80,000 lagi cedera akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye Isnin lalu.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang berpusat di wilayah Kahramanmaras itu menjejaskan 13 juta orang di 10 wilayah di Turkiye dan gegarannya turut dirasai di beberapa negara di rantau itu.

Di Syria, sekurang-kurangnya 3,574 orang terbunuh manakala lebih 5,290 yang lain cedera.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply