Guru Cetus Islamophobia Disiasat Polis Perancis | LONDON: Seorang guru sekolah di Perancis digantung kerja dan disiasat oleh polis selepas tuduhan oleh pelajar Islam yang mengatakan dia taksub dengan agamanya.

Daily Mail melaporkan, pelajar di Sekolah Katolik Joseph-Wresinski d’Angers di bandar Angers membuat aduan rasmi itu kepada polis tempatan.

Pelajar itu mendakwa guru berkenaan berkata, pelajar Islam menjadi masalah jika belajar di sekolah Katolik dan mengesyorkannya ‘menukar agama’ ketika perbincangan mengenai sejarah Perancis.

Pendakwa raya tempatan berkata, polis juga melancarkan siasatan terhadap aduan berkenaan.

Guru terbabit, yang masih belum dikenal pasti, turut membuat aduan sehari selepas itu, mendakwa berlaku ‘kekerasan fizikal dan lisan’.

Menurut pelajar itu, perbezaan pendapat bermula apabila guru itu menyimpang daripada perbincangan mengenai sekolah Katolik pada masa lalu.

Dia didakwa menyebut ‘sekolah Katolik sepatutnya terus menerima pelajar Katolik saja’, kemudian seorang pelajar menunjuk kepada rakan sekelasnya yang beragama Islam dan berkata ‘sekolah Katolik bukan hanya dikhaskan untuk Katolik saja’.

Menurut keterangan pelajar itu lagi, guru berkenaan kemudian berkata: “Itulah masalahnya… Dia sentiasa boleh menukar agamanya”.

Pelajar itu, yang marah dengan maklum terbabit, terus merempuh guru itu lalu keluar dari bilik sambil menjerit ‘perkauman’ dan perbuatan pelajar itu menjadi asas laporan polis oleh guru berkenaan.

Guru itu bagaimanapun mengaku ‘menjemput Islam untuk menyertai mereka dan menjadi Katolik’ tetapi berkata, ia disebut sebagai gurauan tetapi ‘tidak diterima dengan baik dalam kelas’.

Pengarah sekolah, Anthony Bélangé, berkata 20 peratus pelajarnya beragama Islam dan biasanya mereka berada dalam suasana ‘sangat aman’.

“Konflik antara kakitangan dan pelajar boleh berlaku tetapi aduan itu sudah dibawa ke peringkat seterusnya dan kini di luar bidang kuasa pentadbiran sekolah.

“Ia adalah keadaan yang beremosi dan saya sudah meminta pelajar di dalam kelas untuk menulis keterangan fakta mengenai apa yang berlaku dan ia akan dihantar kepada pasukan penyiasat,” katanya.

Perancis turut didiami sekitar lima juta penduduk Islam, jumlah terbesar dalam kalangan penduduk mana-mana negara Kesatuan Eropah lain. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply