Hafiz Mahamad Dikompaun RM1,500 Hasilkan Video Bersama Pihak Berkuasa Tanpa Pakai ‘Mask’ | Menjadi seorang instafamous semestinya sering menjadi perhatian orang ramai. Malah pelbagai idea dikeluarkan oleh mereka buat tatapan para pengikut mereka. Baru-baru ini seorang instafamous dan juga usahawan iaitu Hafiz Mahamad telah menghasilkan sebuah konten raya bersama dengan pihak berkuasa.
Disebabkan oleh video yang telah dimuatnaik di instagram milik individu itu, dia telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka (mask) semasa penghasilan konten tersebut. Video itu turut melibatkan dua orang pegawai polis dan seorang tentera yang sedang melaksanakan tugas sekatan jalan raya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara itu dikeluarkan selepas lelaki terbabit hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, pada 3 Mei 2021.
Video itu telah menjadi bahan ketawa warganet kerana memaparkan alasan-alasan yang digunakan oleh orang ramai untuk merentas negeri. Hal ini dikatakan demikian kerana alasan yang diberikan sangatlah tidak boleh untuk diterima akal. Video itu juga dikatakan berkait dengan situasi yang sering pihak berkuasa berhadapan.
View this post on Instagram
Mengulas mengenai video tersebut, pihak polis mengesan ianya telah dimuat naik oleh Hafiz pada pukul 9.15 malam, Ahad lalu dan semakan mendapati lokasi adegan raya itu dilakonkan di Bukit Rimau, Presint 3. Video tersebut turut melibatkan kenderaan polis jenis Proton Preve serta kenderaan persendirian jenis Honda City milik lelaki tempatan dan anggota yang terlibat dalam adegan lakonan tersebut berpakaian penuh uniform.
Malah, Mohd Fadzil turut berkata bahawa Hafiz Mahamad dikatakan tidak memakai pelitup muka selain dilihat ‘mempersendakan’ alasan-alasan yang diberikan bagi tujuan merentas negeri. Ramai juga turut mempersoalkan tentang kemunculan anggota polis dan anggota tentera sebenar di dalam video tersebut.
Ini kerana banyak proses yang perlukan dilakukan sebelum mendapat keizinan untuk mengeluarkan konten-konten yang melibatkan perkhidmatan anggota polis dalam mana-mana video penggambaran. Beliau juga tidak pernah membenarkan video tersebut dirakam atau dikeluarkan dan tiada sebarang bayaran atau sagu hati diterima oleh pihak polis dalam hal ini.
Sumber: The Rakyat Post