Hampir 100 Lori Kontena Negara Jiran Ganggu Jalan Raya. | PADANG BESAR: Sikap segelintir pemandu lori kontena negara jiran yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya ketika menunggu giliran di pintu sempadan menerusi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar di sini, menimbulkan kebimbangan bukan sahaja kepada pengguna jalan raya lain, malah penduduk setempat.

Hampir 100 Lori Kontena Negara Jiran Ganggu Jalan Raya.

Baru-baru ini tular di media sosial orang ramai mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera mengatasi masalah tersebut yang dikhuatiri boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Tinjauan Bernama mendapati hampir 100 lori kontena menunggu giliran bermula jam 3 petang setiap hari untuk diperiksa sebelum dibenarkan masuk ke negara jiran dan senario itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira tiga kilometer bermula dari jejantas Padang Besar ke Kompleks ICQ Padang Besar.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Awang, 60, berkata setiap hari terdapat ratusan lori kontena dari Thailand akan masuk ke ICQ Padang Besar dan ada dalam kalangan pemandu lori warga Thailand kontena ini tidak mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa di sini.

“Mereka (pemandu lori kontena) dengan sewenang-wenang memotong barisan dan masuk ke laluan dagang sehingga menghalang laluan, kenderaan awam lain yang berada di belakang terpaksa melawan arus untuk meneruskan perjalanan namun ia boleh mengundang bahaya kepada orang lain,” katanya baru-baru ini.

Awang mendakwa perkara itu sudah lama berlaku di pekan Padang Besar, namun tiada tindakan diambil menyebabkan pemandu lori ini menjadi semakin ‘besar kepala’ dan tidak hormati penduduk setempat.

Turut berkongsi pendapat sama, seorang penduduk Ismail Yaakob, 54, berkata sikap pemandu lori yang tidak mengikut giliran menyebabkan laluan jalan terhalang.

“Saya lihat polis trafik ada membuat pemantauan pada setiap petang dan mengambil tindakan mengeluarkan saman kepada pemandu lori yang melanggar undang-undang lalu lintas,” katanya.

Malah, beliau mencadangkan pihak Kastam Diraja Malaysia mencari satu mekanisme bagi mempercepatkan proses kenderaan perdagangan keluar masuk menerusi pintu sempadan negara agar masalah ini dapat diselesaikan.

Apa yang menyedihkan, katanya, terdapat segelintir pemandu lori dari negara jiran dikatakan berlagak seperti ‘samseng’ dan memandu sesuka hati tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan mengambil tindakan undang-undang tanpa kompromi terhadap kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas.

“Pada Khamis lalu (17 Februari ), kita sudah mengeluarkan sebanyak 10 saman terhadap kenderaan perdagangan yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, perkara itu sudah lama berlaku namun keadaan menjadi semakin serius kerana kerja menaik taraf di laluan masuk masih dilakukan.

“Stesen Kawalan Sempadan (SKS) JPJ Padang Besar sentiasa memantau isu berkenaan dan tindakan segera telah diambil dengan melakukan rondaan lebih kerap bagi memastikan, tidak berlaku pelanggaran undang-undang (oleh pemandu kontena) sehingga menghalang aliran trafik di bulatan Padang Besar,” katanya.

Sumber: BH

Share.

Leave A Reply