Harimau Malaya Lebih ‘Mengaum’ Dengan Sentuhan Pan-Gon | PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan tiada apa-apa perubahan yang berlaku bagi jawatan pengurus pasukan kebangsaan.

Ia susulan nama Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar diletakkan sebagai pengurus dalam senarai pemain dan pegawai pasukan ketika aksi persahabatan berdepan Filipina di Stadium Nasional, Singapura, semalam.

Justeru, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar menjelaskan jawatan pengurus pasukan kebangsaan masih kekal digalas ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

“Memang betul Kim Pan Gon adalah ketua jurulatih dan pengurus pasukan manakala Datuk Kamarul adalah penolong pengurus.

“Tapi disebabkan sistem senarai pemain dan pegawai yang FAS (Persatuan Bolasepak Singapura) buat itu, saya kata kalau boleh kosongkan, tapi ia tak boleh dikosongkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat keempat Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 yang turut dihadiri Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Dalam aksi semalam, skuad Harimau Malaya menghadiahkan perlawanan pertama di bawah kendalian Pan Gon dengan kemenangan apabila menundukkan Filipina 2-0 menerusi jaringan Akhyar Rashid pada minit ketiga dan 24.

Skuad Harimau Malaya akan mengharungi aksi persahabatan berdepan Singapura pada Sabtu ini, sebelum menentang pasukan kelab, Albirex Niigata Singapura, 28 Mac ini dengan semua perlawanan turut akan berlangsung di Singapura.

SUMBER : BH

Share.

Leave A Reply